Rasanya semua pasti ada dengar mengenai kisah YouTuber popular Korea juga merupakan seorang Muslim iaitu Daud Kim yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap dua orang wanita pada tahun lepas.
Meskipun sudah pun menyelesaikan secara baik, namun perkara itu dibangkitkan semula selepas mangsa tidak berpuas hati dengan lelaki itu yang memungkiri janjinya. Sepatutnya membiarkan permohonan maaf terus kekal di laman media sosialnya, namun Daud Kim bertindak memadamnya sekaligus segala perjanjian dengan mangsa terbatal.
Walaupun hal itu terjadi sebelum dia memeluk agama Islam namun ramai yang kekal mengecam serangan seksual itu kerana tidak kira agama apa sekali pun, tindakan itu ternyata salah dan mampu meninggalkan trauma kepada mangsa.
Terbaru, Daud Kim telah memuat naik satu lagi video permohonan maaf dan menjelaskan bahawa tuduhan mangsa adalah benar dan bukan rekaan semata. Malahan lelaki itu meminta semua orang supaya tidak mengecam tindakan mereka mendedahkan hal tersebut kerana ia memang terjadi dan perkara itu adalah salahnya sendiri.
Tak cukup dengan itu, YouTuber yang popular dalam kalangan pengikut Malaysia dan Indonesia itu dengan lemahnya mengakui bahawa dia ternyata melakukan video berkaitan Islam hanya untuk meraih tontonan dan keseronokan tanpa mengambil kira hukum dan hakam agama tersebut. Di kesempatan itu, dia turut memohon maaf kepada YouTuber mualaf Korea lain yang menerima tempias kerana kekhilafannya itu.
Bukan itu sahaja, Daud Kim juga menggunakan peluang ini untuk mengakui bahawa khabar angin mengenai dia yang sudah berkahwin dan mempunyai anak sememangnya adalah perkara yang sahih. Menurut lelaki itu, dia sudah pun berkahwin sejak 3 tahun lepas dan turut dikurniakan seorang cahaya mata. Pun begitu, disebabkan oleh kehidupan perkahwinan yang tidak bahagia, anaknya kini dijaga oleh wanita tersebut dan dia kekal menghubungi anaknya itu apabila perlu.
Agak mengecewakan apabila Daud Kim membuat pengakuan bahawa dia tetap melalui kehidupan seperti biasa meskipun sudah memeluk agama Islam. Bahkan dia kekal minum arak dan keluar berjumpa wanita di kelab tanpa mengambil kira peraturan agama barunya.
Di penghujung videonya, YouTuber ini memohon maaf dan mendedahkan akan berehat daripada media sosial supaya dapat muhasabah diri atas kesalahannya ini. Dia juga berjanji akan mengubah dirinya mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.