Ikuti Kami:

Mirip ‘Reply’ & ‘Prison Playbook’ Tapi Latar Belakang Hospital, Pengarah Dedah ‘Hospital Playlist’ Bermusim

Mirip ‘Reply’ & ‘Prison Playbook’ Tapi Latar Belakang Hospital, Pengarah Dedah ‘Hospital Playlist’ Bermusim

Menerusi sidang media drama terbaru “Hospital Playlist”, pengarah dan barisan teraju utamanya telah berkongsi pelbagai kisah dan inti pati mengenai naskhah ini. Belum pun ditayangkan, tetapi kesemua peminat K-Drama dah tunjukkan keterujaan mereka untuk menyaksikannya.

Pengarah berbakat iaitu Shin Wonho mengatakan bahawa meskipun membawa kisah doktor tetapi ia berlainan daripada drama perubatan tipikal yang lain.

Ia adalah drama perubatan, tetapi sedikit berbeza dengan drama perubatan sebelum ini. Daripada memanggilnya sebagai drama perubatan, ia adalah agak sama dengan drama ‘Reply 1988’ dan ‘Prison Playbook’ tetapi berlatar belakangkan institusi hospital.

Pengenalan watak

Jo Jungsuk sebagai Ikjun, seorang pakar Gastroenrologi

Seorang yang sangat peramah dan liar, wataknya membuatkan ramai tertanya-tanya apakah yang bermain dalam fikirannya. Dia adalah sangat optimistik, tiada kekurangan apa-apa dan mempersonakan.

Yoo Yeonseok sebagai Jungwon, seorang pakar Kanak-kanak

Jungwon menjaga setiap pesakit seperti anaknya sendiri. Tetapi realitinya, dia sangatlah sensitif dan garang dengan rakan-rakannya.

Jeon Mido sebagai Songhwa, seorang pakar bedah Neurologi

Songhwa ialah seorang wanita yang kuat dan tenang meskipun dikelilingi oleh doktor lelaki yang mempunyai personaliti memaksa.

Jung Kyungho sebagai Junwan, seorang pakar bedah Toraks

Lelaki ini adalah sangat tegas sehingga rata-rata doktor yang lain menyampah dengannya melainkan sahabatnya yang sudah masak dengan perangainya itu. Jung Kyungho juga menambah bahawa watak yang dibawa kali ini adalah sangat berlainan dengan dirinya yang sebenar.

Kim Daemyung sebagai Seokhyung, seorang pakar Ginekologi

Seorang yang sangatlah pemalu dan susah bergaul dengan orang lain tetapi satu dia adalah seorang yang menghiburkan dalam caranya yang tersendiri.

‘Hospital Playlist’ tidak tamat dalam satu musim sahaja

Pengarah Shin Wonho menjelaskan bahawa pihak produksi telah merancang untuk mengeluarkan drama perubatan ini kepada beberapa musim.

Saya mahu buat satu drama yang tiada kesudahan yang sudah ditentukan ataupun konklusi langsung. Tetapi, para penonton memberikan kami perhatian dan sokongan untuk musim lain. Daripada perjumpaan dan perbincangan yang diadakan, meninggalkan penghujung drama dengan penutup terbuka membuka ruang kepada arah dan idea baru.

Selain itu, ‘Hospital Playlist’ membawa kelainan dalam arena drama Korea apabila episod baru hanya akan ditayangkan seminggu sekali sahaja di mana kebiasaannya ialah dua episod seminggu.

Secara ringkas, kami merancang sedemikian rupa supaya dapat meneruskan kelangsungannya. Konsep dua episod setiap minggu adalah efektif pada masa lepas tetapi selepas mengambil kira persaingan, perbelanjaan produksi yang kian meninggi dan perubahan suasana set penggambaran, saya tertanya-tanya sama ada ia adalah munasabah. Kerana itulah, saya mempertimbangkan satu episod seminggu. Oleh sebab itu, drama ini harus berjaya supaya ia boleh jadi model baru kepada industri perfileman.

Persediaan watak doktor

Pelakon drama Korea sentiasa mengambil serius mengenai watak yang dipegang mereka. Dapat sahaja skrip, setiap pelakon akan berjumpa dengan pakar yang arif tentang latar belakang tersebut supaya mereka dapat menonjolkan lakonan yang realistik dan meyakinkan.

Kesemua barisan pelakon utama menceritakan bahawa mereka berjumpa dengan pakar mengikut watak masing-masing untuk menanyakan soalan kepada mereka. Tak cukup dengan itu, pelakon semua turut menonton pelbagai dokumentari mengenai perubatan. Jo Jungsuk berkongsi bahawa bagi mengalami perasaan sebagai doktor, dia sendiri telah masuk dan menonton secara langsung satu pembedahan hati.

Yoo Yeonseok juga berkongsi tips mudah untuk pelakon yang membawa watak sebagai pegawai perubatan. Dalam drama perubatan, sudah pasti akan ada babak bantuan pernafasan (CPR) yang dilakukan kepada pesakit. Kadang-kadang para pelakon mempunyai rentak menekan yang berbeza dan mungkin memberikan gambaran yang berlainan kepada penonton. Jadi Yoo Yeonseok telah menggunakan aplikasi ‘Metronome’ di mana pengguna boleh tetapkan rentak per minit. Daripada situ, dia menghafal rentak tersebut dan selepas berlatih beberapa kali, lelaki itu berjaya mengekalkan temponya setiap kali melakukan babak CPR.

Jangkaan rating episod pertama

Mempunyai rekod baik dengan drama yang digarapnya sebelum ini seperti “Prison Playbook” dan siri “Reply”, sudah pasti ramai yang menaruh harapan tinggi dengan naskhah terbaru pengarah Shin Wonho ini. Tambahan pula, ianya diterajui oleh barisan pelakon hebat.

Apabila ditanya mengenai ramalan rating episod pertama, kesemua pelakon mengutarakan nombor yang agak tinggi menunjukkan bahawa mereka yakin dengan kemampuan “Hospital Playlist”. Jung Kyungho menyatakan 10.1% manakala Kim Daemyung dan Jo Jungsuk memberikan nombor yang boleh tahan hebat iaitu 11% dan 12%.

Walaubagaimanapun, pengarah Shin Wonho tampil realistik dan hanya meramalkan 4% untuk rating episod pertama drama ini nanti.

Saya juga mahukan rating yang tinggi tapi secara realistiknya, tayangan satu episod seminggu memberikan impak yang rendah. Lagi satu, episod pertama drama ini berselisih dengan program popular ‘Mister Trot’ selama 20 minit. Jadi ambil kira semua kemungkinan ini, saya agak 4%.

Kesemua tonggak utama “Hospital Playlist” berharap agar penonton akan terhibur menonton drama itu apabila ia mula ditayangkan nanti. Mereka juga mahu semua orang memahami apa yang berlaku dalam kehidupan sebagai doktor dan menyedari bahawa mereka adalah orang biasa disebalik imej profesional yang sering ditonjolkan di kaca televisyen.

Jangan lupa menonton “Hospital Playlist” bermula 12 Mac ini menerusi saluran tvN dan Netflix!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...