“Running Man” sememangnya diminati ramai kerana pelbagai telatah kelakar yang disajikan oleh setiap ahlinya. Pun begitu, setelah hidup selama 10 tahun, tetap ada beberapa momen yang membuatkan penonton terduduk menangis.
1. Episod terakhir Song Joong-ki
Bagi sesiapa yang menonton “Running Man” daripada awal pastinya mengetahui bahawa salah seorang ahli asal rancangan ini ialah pelakon popular Song Joong-ki. Dan kalau anda ingat juga, terdapat beberapa kali lelaki ini tidak menghadirkan diri ke penggambaran rancangan tersebut kerana sibuk dengan aktiviti lakonannya.
Disebabkan oleh itu, selepas hampir setahun berlari bersama “Running Man”, Song Joong-ki membuat keputusan untuk mengundurkan diri demi memberi fokus kepada bidang lakonan.
Episod akhirnya dipenuhi dengan curahan air mata terutama sekali daripada Song Joong-ki sendiri dan juga rakan baiknya Lee Kwang-soo serta ‘kakak’ Song Ji-hyo.
2. Perkongsian hati ke hati Song Ji-hyo dan Lee Kwang-soo
Kalau dalam satu episod itu tak sah kalau tiada percakaran yang berlaku di antara Song Ji-hyo dan Lee Kwang-soo. Walaupun macam kucing dengan anjing tetapi tak dapat dinafikan bahawa mereka saling sayang menyayangi seperti adik-beradik sebenar.
Dalam satu episod “Running Man”, Song Ji-hyo telah meluahkan perasaan terharunya kerana Lee Kwang-soo yang banyak menyokong dirinya pada awal dia menyertai rancangan itu. Berasa sukar untuk bergaul dengan ahli lain sampai wanita itu pernah membuat keputusan untuk tinggalkan program itu namun Lee Kwang-soo hadir memberikan kata-kata semangat.
Malah lelaki tinggi lampai itu turut memohon maaf sekiranya dia sering berkelakuan kasar dengan kakaknya itu namun Song Ji-hyo langsung tak kisahkan hal tersebut.
3. “Running Man” hampir melabuhkan tirai buat selamanya
Selepas diumumkan “Running Man” bakal menghentikan tayangannya pada tahun 2016, ramai yang meluahkan protes dengan SBS kerana melayan ahli yang bertungkus-lumus menghidupkan rancangan itu dengan sewenang-wenangnya. Makin ramai yang marah apabila sebelum itu mereka membuat keputusan untuk menyingkirkan Song Ji-hyo dan Kim Jong-kook dan cuba mengambil selebriti lain menyertai rancangan tersebut.
Semasa menerima anugerah bagi kecemerlangannya dalam “Running Man” di ‘2016 SBS Entertainment Awards’ selepas pengunmuman melukakan hati tersebut, Lee Kwang-soo telah memberikan ucapan yang sangat menyedihkan.
Saya minta maaf. Saya mahu berterima kasih kepada para produser yang bersungguh-sungguh melindungi ‘Running Man’ dan mempertahankan kesemua perhatian yang diberikan kepadanya.
Saya mahu berterima kasih kepada Ji Suk-jin kerana mengajar saya komedi dan pedoman hidup. Saya juga mahu berterima kasih kepada Jae-suk yang membantu saya untuk berdiri di sini selain mentor saya, Jong-kook. Haha adalah seperti keluarga saya sendiri, kakak sebenar saya Jihyo, abang saya Gary dan Joong-ki.
Saya sayangkan anda semua. Saya sangat gembira. Saya gembira selama 7 tahun daripada berusia 28 hingga 33 tahun kini dan saya mau berterima kasih kerana memberikan saya anugerah hebat ini selain kasih sayang. Ini adalah lebih daripada apa yang saya layak terima. Saya akan cuba menghiburkan anda sehingga ke penghujungnya. Mari akhiri semuanya dengan baik.
Walaubagaimanapun, SBS kemudiannya bertindak menarik balik keputusan untuk membatalkan rancangan “Running Man” tak lama selepas itu. Bahkan Ketua di Ibu Pejabat SBS sendiri telah bersembang dan berbincang secara mendalam dengan kesemua ahli bagi menyelesaikan isu yang ada.
4. Hari terakhir Gary
Meskipun lebih dikenali sebagai penyanyi rap hebat, namun penyertaan Gary dalam “Running Man” ternyata mengubah persepsi ramai mengenai dirinya yang sebenar. Lelaki ini ternyata habis dengan gelagatnya yang ‘masuk air’ dan kadang-kadang ‘blur’.
Walaupun menerima kasih sayang yang banyak daripada penonton, namun lelaki itu membuat keputusan untuk meninggalkan “Running Man” kerana mahu memberi fokus kepada bidang muzik.
Episod terakhir Gary nyata membuatkan ramai bersedih, tambahan pula Song Ji-hyo yang merupakan pasangannya hampir 6 tahun bersiaran tak dapat menaham air matanya daripada gugur.
Kesemua ahli “Running Man” dah rasa macam keluarga kita sendiri kan?
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.