Ikuti Kami:

Meski Sedap Didengar, Lirik 7 Lagu K-Pop Ini Pernah Cetuskan Kontroversi

Meski Sedap Didengar, Lirik 7 Lagu K-Pop Ini Pernah Cetuskan Kontroversi

Tidak semua lagu yang boleh diterima baik oleh peminat walaupun artis tersebut sangat popular kerana ada segelintir lagu yang telah mengguris hati pendengar setia K-pop.

KimchiDaily nak kongsikan 7 lagu K-pop yang pernah mengundang kemarahan netizen.

Jay Park – Mukkbang

Pada tahun 2021, Jay Park telah dikecam teruk oleh peminat lagu K-pop disebabkan oleh lagu ‘Mukkbang (Remix)’. Beberapa pendengar mendakwa Jay Park tidak menghormati agama Kristian dan agama Islam dengan membandingkan dirinya dengan Tuhan, Holy Ghost dan Allah. Terdapat lirik dalam lagu ini yang menggunakan nama Allah dan perkataan Wallah yang dianggap menghina agama Islam.

Pada awalnya Jay Park tidak tahu bahawa perkara ini adalah satu masalah yang besar. Namun, selepas bertubi-tubi dihentam oleh netizen, barulah dia faham bahawa dia telah menyinggung perasaan penganut agama lain. Sedar akan kesilapannya, penyanyi rap kegemaran peminat K-pop itu serta-merta memuat naik ciapan di Twitter miliknya meminta maaf kepada peminat yang beragama Islam dan Kristian.

Agust D Suga – What Do You Think

Lagu ‘What Do You Think’ hangat diperkatakan ketika awal dikeluarkan. Ia merupakan salah satu mixtape Agust D ataupun Suga BTS. Album yang dikeluarkan pada tahun 2020 ini dinamakan D-2. Lagu ini menyebabkan kemarahan ramai apabila potongan lirik berkenaan diambil daripada pidato Jim Jones pada tahun 1997. Jadi apa yang menyebabkan orang marah sangat?

Jim Jones dikenali sebagai pemimpin di Amerika Syarikat yang mengajak orang untuk bunuh diri dengan cara minum air yang berisi racun. Sama seperti Jay Park, Suga terus meminta maaf menerusi HYBE iaitu agensi Suga serta dia mengambil keputusan untuk mengubah lirik lagu ‘What Do You Think’ demi menjaga hati semua orang.

Ravi VIXX – Red Velvet

Pada tahun 2021, Ravi dari kumpulan VIXX mendapat kecaman netizen kerana lagu ‘Red Velvet’. Lagu itu dikatakan merujuk kepada sebuah kumpulan K-pop wanita di SM Entertainment iaitu Red Velvet. Punca kemarahan ramai ialah disebabkan oleh bait lirik yang mengandungi kata-kata kurang enak seperti “I take a bite out of a red velvet, cause I know you love me” selain ia turut menyebut nama dua ahli kumpulan Red Velvet iaitu “sooyoung-haneun” dan “yeri-hagien” yang merujuk pada Sooyoung (Joy) dan Yeri. Katanya, lagu itu turut menggunakan nada dan metaphora berbaur seksual.

Akhirnya penyanyi rap itu meminta maaf dan membuat keputusan mengeluarkan lagu itu daripada semua platform penstriman audio dan video. Dia juga telah menghubungi pihak SM Entertainment untuk memohon maaf secara peribadi kepada ahli kumpulan itu.

IU – Zeze

IU ataupun nama sebenarnya Lee Ji-eun juga pernah terpalit dengan kontroversi ini. Ianya tercetus apabila ada segelintir netizen yang mendakwa bahawa lagu ‘Zeze’ ini mengisahkan tentang masalah pedofilia dari novel Lolita karya Vladimir Nabokov. Novel ini memberi kisah tentang kisah cinta seorang budak perempuan bawah umur bersama lelaki dewasa.

Namun, IU secara langsung menjelaskan bahawa lagu ‘Zeze’ tiada kaitan dengan Novel Lolita malah ia diinspirasi daripada novel berjudul ‘My Sweet Orange Tree’ yang popular di Brazil. Walau bagaimanapun, IU tetap meminta maaf kerana telah menyebabkan salah faham.

LOCO – Act Serious

Laman sosial Loco pernah diserbu dan dihentam kerana lagunya yang bertajuk ‘Act Serious’ telah menggunakan laungan azan yang di remix. Ianya mengundang kemarahan orang ramai terutama peminat lagu K-pop yang beragama Islam. Selepas kejadian itu, Loco akhirnya membuat permohonan maaf serta menghapus melodi bahagian azan tersebut. Dia menjelaskan bahawa dia tidak tahu muzik yang digunakannya ialah laungan azan yang berkait rapat dengan cara hidup Muslim.

CL – Mental Breakdown

Lee Chae-rin atau nama pentasnya CL merupakan penyanyi rap, penulis lirik dan ahli kumpulan terkenal 2NE1 yang sangat berbakat. Salah satu lagu iaitu ‘Mental Breakdown’ miliknya pernah dikecam kerana ada petikan bacaan ayat suci al-Quran iaitu potongan surah An-Naba ayat 32-34.

Mengambil tanggungjawab, YG Entertainment yang pada ketika itu merupakan agensi CL, meminta maaf atas kejadian yang berlaku dan segera menghapus petikan ayat al-Quran di dalam lagu tersebut.

Big Bang – Fxxk It 

Siapa je yang tak kenal kumpulan K-pop legend dari Korea Selatan ni. Lagu Big Bang yang bertajuk ‘Fxxk It’ dilarang ditayangkan di KBS kerana liriknya dikatakan tidak sesuai untuk tayangan umum. Pihak KBS menjelaskan bahawa lirik dalam lagu itu agak kasar kerana terdapat perkataan ‘yangachi’ yang bermaksud penjahat. Namun, hal ini langsung tidak menghalang lagu ‘Fxxk It’ ini untuk menjadi salah satu lagu popular sehingga kini.

Benda pun dah jadi, kita move on je ok!

Korang banyak topik ‘hot’ lain tentang dunia hiburan Korea yang nak dibincangkan? Kongsi lah ‘teh’ dengan kami di forum KimchiDaily 😉

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...