Ikuti Kami:

Kim Soohyun Kembali Ke Pentas Lakonan, 6 Sebab MESTI Tonton Drama Romantik-Psikologi ‘It’s Okay To Not Be Okay’

Kim Soohyun Kembali Ke Pentas Lakonan, 6 Sebab MESTI Tonton Drama Romantik-Psikologi ‘It’s Okay To Not Be Okay’

Semakin lama, semakin banyak drama Korea di bawah Netflix yang menarik perhatian ramai. Bukan kerana dipelopori oleh pelakon yang hebat tetapi disebabkan oleh plot cerita yang unik dan memerlukan fikiran luat daripada kotak untuk mendalaminya.

Bahkan drama yang ditayangkan juga kini banyak menyentuh isu ‘taboo’ dalam masyarakat seperti masalah kesihatan mental dan sebagainya. Sama juga dengan drama “It’s Okay To Not Be Okay” yang bakal menemui penonton pada 20 Jun nanti di Netflix.

it's okay to not be okay

Selepas mengikuti temuramah eksklusif bersama bintang utama “It’s Okay To Not Be Okay”, banyak sebab yang membuatkan para penonton MESTI menontonnya.

Drama pertama Kim Soo-hyun selepas pulang daripada latihan khidmat ketenteraan

Rata-rata peminat nyatanya dah tak sabar untuk melihat Kim Soo-hyun kembali beraksi dalam naskhah baru. Asyik membuat kemunculan sebentar dalam beberapa drama lain sahaja, ramai yang gementar menantikan watak baru yang bakal dibawakan oleh pelakon hebat ini.

Malahan Kim Soo-hyun sendiri mengakui bahawa dia sendiri tak keruan kerana “It’s Okay To Not Be Okay” menandakan kepulangannya semula dalam industri seni selepas ‘hilang’ buat seketika. Pun begitu, lelaki ini meluahkan bahawa sepanjang latihan ketenteraan, dia sendiri dahaga untuk kembali berlakon dan berada di hadapan kamera.

it's okay to not be okay

Dek latihan ‘keras’ dalam semasa berkhidmat sebagai tentera, Kim Soo-hyun mendedahkan bahawa fizikalnya kini semakin kuat selain dia sendiri sudah semakin tenang dan relaks. Lelaki itu juga mengatakan bahawa gaya lakonannya juga sudah berubah dan ianya akan jelas kelihatan menerusi drama ini.

Sentuh pelbagai isu kesihatan mental

Kalau anda perasan, banyak sebenarnya drama Korea lain yang menyentuh mengenai isu kesihatan mental namun “It’s Okay To Not Be Okay” menonjolkannya dalam cara yang lebih unik dan mendalam.

Watak Go Mun-yeong yang dilakonkan oleh Seo Ye-ji merupakan seorang penulis buku cerita kanak-kanak yang mengalami masalah tingkah laku anti-sosial. Wanita ini langsung tidak mempunyai perasaan simpati dan empati terhadap orang lain. Hal ini membuatkan ramai yang menganggap dia sebagai seorang yang pelik dan sukar difahami.

Sang-tae iaitu abang kepada Gang-tae pula mengalami masalah autisme (ASD) dan merupakan peminat tegar kepada karya Mun-yeong. Perwatakan yang unik ini pastinya bakal menarik perhatian penonton yang jarang didedahkan dengan plot seperti ini.

Hubungan kekeluargaan yang menyentuh perasaan

Terpaksa menjaga abangnya yang mempunyai kondisi autisme, Gang-tae tetap tabah dan sentiasa menjadi penyokong paling dekat untuk lelaki itu. Menurut Kim Soo-hyun, meskipun Sang-tae secara lahiriahnya adalah abang, tetapi Gang-tae yang menggalas tugasan sebagai abang sepanjang mereka hidup bersama.

it's okay to not be okay

Apabila bersama dengan abangnya, lelaki itu terpaksa berlagak seperti dewasa dan terpaksa menelan segala maruah yang ada demi melayan perangai Sang-tae. Bahkan semasa temuramah berlangsung, Kim Soo-hyun memilih ‘Sang-tae’ sebagai salah satu perkataan yang menggambarkan watak Gang-tae.

Perkara ini membuktikan bahawa Gang-tae sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan dan kesenangan satu-satunya ahli keluarganya itu.

Karakter dengan perwatakan unik

Go Mun-yeong terutamanya merupakan antara karakter yang dihiasi dengan personaliti yang unik dan luar biasa. Mempersembahkan watak tersebut seperti seorang ‘ahli sihir’, wanita itu nyata kelihatan lain daripada yang lain. Dengan suaranya yang dalam, ia mampu menarik perhatian penonton untuk fokus kepada aura yang mengelilingi Mun-yeong.

Seo Ye-ji sendiri membuat konklusi bahawa Go Mun-yeong sememangnya adalah seorang yang sangat unik dan mempunyai warnanya yang tersendiri. Daripada yang ditunjukkan, watak ini sering tampil dengan pelbagai pakaian yang hebat daripada fesyen tinggi. Pun begitu, ia bukanlah kerana watak Mun-yeong adalah seorang yang sangat suka melaram tetapi itu adalah platform untuk dia meluahkan diri sendiri. Secara mudah, pakaian uniknya bukan untuk menunjuk tetapi sebagai ‘pelindung’ kepada dirinya.

it's okay to not be okay

Selepas mengkaji secara mendalam watak Mun-yeong, Seo Ye-ji tak dapat menahan daripada rasa kasihan kerana watak itu yang tidak mempunyai kebolehan untuk merasa empati terhadap orang lain. Penulis buku kanak-kanak itu digambarkan sebagai seorang yang hanya tahu mengenai diri sendiri dan seperti pedang dengan dua mata bilah, yang menyakitkan dia dan juga orang lain.

Gandingan pertama Kim Soo-hyun dan Seo Ye-ji

Peminat K-Drama telah melahirkan rasa teruja apabila mendapat tahu bahawa kedua visual dan pelakon hebat ini bakal menerajui drama yang sama. Bukan sahaja mempunyai kecantikan dan ketampanan yang sepadan, bahkan Seo Ye-ji sendiri memuji keserasian di antara mereka berdua sehingga menyatakan bahawa Kim Soo-hyun mungkin adalah rakan pelakon terbaik yang pernah dijumpainya.

Kalau dilihatkan daripada sedutan klip pendek yang dimuat naik oleh pihak produksi “It’s Okay To Not Be Okay”, dapat dilihat bahawa mereka berdua tidak segan langsung untuk bermian bersama apabila kamera belum berputar. Comel!

Drama penyembuhan untuk penonton

Jelas Seo Ye-ji, penonton akan merasa disakiti dan dirawat apabila mendalami watak Go Mun-yeong. Melihatkan perkembangan karakternya daripada yang hanya mementingkan diri kepada mula merasai kesusahan orang lain, para penonton akan belajar untuk membesar bersamanya.

Setiap orang mempunyai luka dan kesakitan yang sedang dialami sendiri, bahkan tahap kesakitannya adalah berbeza bagi setiap orang. Walaubagaimanapun, Seo Ye-ji berharap agar penonton agar menonton “It’s Okay To Not Be Okay” akan menjadi satu cara penyembuhan kepada luka tersebut.

it's okay to not be okay

Sedar bahawa drama ini akan ditonton oleh ramai peminat daripada pelbagai negara, Kim Soo-hyun berharap agar mesej penyembuhan yang disampaikan menerusi naskhah ini difahami oleh semua meskipun mempunyai perbezaan budaya. Tapi Kim Soo-hyun pasti bahawa walaupun mempunyai sedikit kelainan tetapi setiap orang pasti akan melakukan apa sahaja untuk orang tersayang.

Menarik kan? Jadi jangan lupa temu janji anda dengan “It’s Okay To Not Be Okay” pada 20 Jun ini di Netflix!

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...