Sudah hampir sebulan seorang artis terkenal di Korea iaitu Sulli telah pun pergi meninggalkan dunia ini. Siapa sangka artis yang sentiasa ceria dan nampak seperti tidak kisahkan tohmahan orang ramai ini sebenarnya terseksa jiwanya. Walaupun gadis berusia 25 tahun itu pernah mengakui bahawa dia mempunyai masalah serangan panik dan kebimbangan yang serius, dia kelihatan semakin ceria bermula pada awal tahun ini. Tapi langit tak sentiasanya cerah, dia nekad mengambil nyawanya sendiri di kediamannya.
Kalau anda nak tahu, antara rakan baiknya ialah penyanyi dan juga pelakon terkenal iaitu IU. Hubungan akrab mereka ini sememangnya diketahui umum dan langsung tidak disorokkan oleh mereka. Bahkan IU turut mengakui bahawa salah satu lagu ciptaannya iaitu ‘Peach’ adalah berkisarkan tentang Sulli.
Semasa urusan pengebumian rakan baiknya itu, IU dikhabarkan telah berada di kawasan pengebumian tersebut sejak daripada mula sehingga akhirnya. Dia juga turut melibatkan diri dalam segala urusan pengebumian bagi memastikan persemadian Sulli berjalan dengan lancar.
Terbaru, IU yang baru sahaja mengeluarkan album baru bertajuk “Love Poem” telah pun mengadakan konsert jelajah sekitar Korea bermula di Gwangju pada 3 November lepas. Berbaloi sungguh peminat yang menghadiri konsert tersebut kerana penyanyi itu mendendangkan hampir kesemua lagu miliknya sepanjang lebih kurang 3 jam.
Walaupun kesemua lagunya adalah sangat best dan menghiburkan tapi para peminat yang menghadiri konsert itu perasan bahawa IU telah mengubah lirik kepada salah satu lagu popularnya iaitu “Red Queen”. Menurut IU suatu ketika dahulu, lagu itu diinspirasikan oleh potret diri Sulli. Dia memberikan penghormatan kepada mendiang rakan baiknya itu dengan mengubah sedikit bait lirik pada bahagian rap lagu tersebut.
Lirik lagu itu seakan-akan ‘menghantar’ Sulli ke dunia lain yang lebih baik daripada sekarang dan dia turut meminta agar tidak mengejutkan ratu tersebut daripada tidurnya.