Ikuti Kami:

Imbas Memori! Senarai Naskhah Klasik Yang Mulakan Fenomena Drama Korea Di Malaysia

Imbas Memori! Senarai Naskhah Klasik Yang Mulakan Fenomena Drama Korea Di Malaysia

K-Drama ini memang sungguhlah berhantu! Mula tengok satu drama, terus syok nak cari drama yang lain. Lepas satu demi satu, tengok-tengok rupanya dah bertahun layan naskhah keluaran Korea! Walaupun kebanyakan drama Korea mula ditayangkan di stesen televisyen dengan meluas sejak beberapa tahun ini, tapi ramai sebenarnya rakyat Malaysia yang sudah mula terjebak dengan kancah K-Drama sejak awal 2000-an lagi.

Tiba-tiba rasa macam nak imbau pula memori lama semasa mula-mula terlibat dengan drama Korea ini. Nah, ini senarai K-Drama ‘lejen’ yang pasti peminat awal drama Korea kenal punya!

Winter Sonata (2002)

drama korea legend winter sonata

Joonsang (Bae Yoongjun) sering merasakan bahawa dia tidak disayangi oleh sesiapa sehinggalah dia mengenali dengan lebih rapat dengan rakan sekelasnya iaitu Yoojin (Choi Jiwoo). Kisah cinta mereka yang baru sahaja bermula telah hancur apabila lelaki itu terlibat dengan kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan dia hilang ingatan. Ibunya yang mahu Joonsang melupakan semua perkara buruk mengenai hidupnya telah membawa anaknya jauh ke Amerika. Kehilangan Joonsang membuatkan ramai yang sangka dia sudah mati termasuklah Yoojin. Selepas beberapa tahun, Joonsang telah pulang ke Korea sebagai seorang arkitek yang terkenal dan hal ini mengejutkan bekas kekasihnya lantas dia terus meragui sama ada teman lelakinya itu sebenarnya masih hidup.

Stairway to Heaven (2003)

drama korea legend stairway to heaven

Han Jungsuh (Choi Jiwoo) dan Cha Songjoo (Kwon Sagwoo) merupakan sahabat baik sejak daripada kecil lagi tetapi terpisah apabila Songjoo telah ke luar negara untuk menyambung pelajarannya. Pun begitu, selepas pulang kembali ke Korea, lelaki itu mendapat tahu bahawa Jungsuh rupanya telah terlibat dengan kecelakaan teruk sehingga menyebabkan dia hilang ingatan. Bagi membantu wanita itu mengingati semula hubungan kasih mereka, Songjoo telah membawanya ke tempat-tempat yang pernah menjadi memori indah pada mereka.

Jewel in the Palace (2003)

drama korea legend jewel in the palace

Cerita yang diinspirasikan daripada kisah klasik mengenai Dae Jang Geum nyata berjaya menarik hati penonton Malaysia juga. Mengisahkan tentang Dae Jang Geum (Lee Youngae) yang bermula sebagai seorang pelatih perubatan dalam istana dan telah membuktikan kehebatannya dalam bidang perubatan sehingga menjadi tabib kepada raja pada zaman itu. Walaupun penuh dengan halangan, wanita hebat ini berjaya mengejar cita dan cinta pada masa yang sama.

Full House (2004)

drama legend full house

Selepas ditipu oleh dua orang rakannya, Han Jieun (Song Hyekyo) telah kehilangan rumah tinggalan bapanya yang dipanggil sebagai ‘Full House’. Bagi mendapatkan semula banglo itu, dia telah menjadi pembantu rumah kepada pemilik barunya iaitu seorang pelakon terkenal, Lee Youngjae (Rain). Walau bagaimanapun, setelah tinggal bersama, mereka mula jatuh cinta selepas lelaki itu membuat perjanjian perkahwinan kontrak bersama gadis tersebut yang pada awalnya hanya ingin membuatkan teman wanitanya, Kang Hyewon (Han Eunjung) cemburu.

My Girl (2005)

drama korea legend my girl

Drama ini membawa kisah seorang gadis licik iaitu Joo Yoorin (Lee Dahae), seorang wanita yang sering menipu orang bagi mendapatkan duit untuk menyelesaikan hutang bapanya. Seol Gongchan (Lee Dongwook) pula merupakan seorang waris orang kaya yang telah mengupah gadis itu supaya berlakon sebagai cucu atuknya yang sudah hilang sekian lamanya. Atuk mereka yang kian pulih turut meminta cucunya itu supaya tinggal bersama sehinggalah cinta antara dua orang anak muda itu mula berputik.

My Lovely Sam Soon (2005)

drama korea legend my lovely kim samsoon

Mengisahkan tentang seorang wanita, Kim Samsoon (Kim Sunah) dengan rupa paras yang biasa namun mempunyai kepakaran yang cemerlang dalam bidang pastri. Sakit hati kerana ditinggalkan oleh kekasihnya yang curang, Samsoon bangkit semula selepas diambil kerja oleh seorang pemilik restoran Perancis yang terkenal iaitu Hyun Jinheon (Hyunbin). Lelaki itu yang sering dipaksa untuk berkahwin cepat oleh keluarganya telah menjadikan chef pastri tersebut sebagai kekasihnya. Apabila cinta mula berputik di antara mereka berdua, bekas kekasih Jinheon iaitu Yoo Heejin (Jung Ryeowon) kembali menagih cinta lelaki itu dan mengusutkan lagi keadaan.

Princess Hour (2006)

drama korea legend princess hours

Chaegyeong (Yoon Eunhye) yang merupakan pelajar sekolah menengah biasa dikejutkan dengan berita bahawa dia perlu berkahwin dengan Putera Mahkota Lee Shin (Ju Jihoon) bagi menyelesaikan hutang ayahnya. Walaupun mereka bersekolah di institusi yang sama tetapi mereka tidak rapat kerana sikap lelaki itu yang dingin dan sombong. Cerita ini menerapkan elemen kelakar apabila Chaegyeong terpaksa mempelajari adab dan santun seorang puteri kerana statusnya kini. Meskipun berbeza status, cinta mula berputik di antara mereka sehinggalah bekas teman wanita lelaki itu iaitu Min Hyorin (Song Jihyo) telah hadir dan membolak-balikkan keadaan.

Coffee Prince (2007)

drama korea legend coffee prince

Hangyul (Gong Yoo) iaitu seorang lelaki kacak yang sebenarnya benci terikat dengan arahan orang lain tetapi terpaksa menyerah kalah apabila neneknya meminta dia menguruskan kafe milik keluarga mereka. Istimewanya kafe ini kerana semua kakitangannya terdiri daripada lelaki kacak dan seorang gadis tomboy yang ingin bekerja di situ telah menyamar sebagai seorang lelaki. Walaupun tidak sefahaman pada awalnya tapi Hangyul dan Go Eunchan (Yoon Eunhye) mula berbaik-baik sehinggalah lelaki itu jatuh cinta dengannya dan keliru dengan perasaannya itu kerana menyukai seorang ‘lelaki’.

Boys Over Flowers (2009)

drama legend boys over flowers

Geum Jandi (Gu Hyesun) adalah seorang pelajar sekolah swasta yang miskin dan tidak setaraf dengan rakan-rakan lainnya yang kaya. Walaupun begitu, dia bercita-cita tinggi dan merupakan seorang yang bijak. Sehinggalah dia telah menjadi sasaran oleh seorang pelajar lelaki popular di sekolah itu iaitu Gu Junpyo (Lee Minho), salah seorang ahli kumpulan F4 dan telah menyebabkan dia dibuli oleh pelajar lain. Lelaki itu yang mulanya membenci gadis tersebut kian jatuh cinta melihat kesungguhan Jandi dan menjalinkan hubungan kasih dengannya. Pun begitu, ibunya yang kaya telah berusaha sedaya upaya untuk memecah-belahkan hubungan anaknya itu.

Kepada anda semua yang rasa seperti mahu mengimbau kembali kenangan, boleh lah marathon kesemua drama Korea klasik yang disenaraikan ini pada hujung minggu nanti!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...