Selebriti wanita di Korea memang sering menjadi sasaran utama apabila netizen mahu melempiaskan kata-kata kritikan atau pun cacian. Saban hari, mereka terpaksa membaca komen buruk mengenai mereka di atas talian tanpa sebarang tapisan. Ada yang mahukan selebriti wanita ini mati, ada yang menuduh mereka cuba menggoda selebriti lelaki dan tak kurang juga, ada mulut puaka yang sering mengkritik pemakaian mereka kononnya terlampau seksi. Lihat saja mendiang Sulli yang mengalami masalah kesihatan mental kerana kecaman netizen sehingga menyebabkan dia nekad mengambil nyawanya sendiri.
Ingatkan apabila ada yang sudah mati kerana perbuatan keji netizen ini, mereka akan mula meninggalkan komen yang baik-baik sahaja. Tapi nampaknya, rata-rata netizen ini masih meliar dan terus menulis komen penuh kebencian pada selebriti wanita yang lain. Antara yang sering menerima tohmahan netizen ialah Naeun daripada kumpulan Apink. Walaupun pada awalnya, gadis ini mahu mengeluarkan saman pada individu yang meninggalkan komen jahat tentangnya tetapi dia menggugurkan kes pada akhirnya.
Agensi naungannya iaitu Play M Entertainment terus mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hal itu.
“Pada 21 Jun lepas, kami telah menfailkan saman menerusi Pasukan Siasatan Siber di Pejabat Polis Daerah Gangnam mengenai individu yang sering menyerang, melakukan gangguan seksual dan menyebarkan maklumat palsu mengenai Naeun. Disebabkan Naeun dan pihak agensi telah banyak terseksa, kami meminta siasatan yang terperinci dijalankan lantas berjaya mengesan identiti individu tersebut. Kami mendapati bahawa individu tersebut sedang dirawat di hospital kerana mengalami tekanan akibat peperiksaan persediaan selepas bergraduasi daripada fakulti undang-undang di universiti terkenal ‘S’.
“Selepas mendapat tahu mengenai kondisi individu tersebut dan menerima permohonan maaf daripada keluarganya, Naeun megambil keputusan untuk memaafkannya. Namun, agensi kami akan memastikan tindakan undang-undang akan dikenakan kepada individu lain yang terus meninggalkan komen buruk pada artis kami yang lain. Kami akan berusaha keras bagi melindungi kesemua artis di bawah label ini. Terima kasih.”
Rata-rata netizen yang membaca kisah ini tidak bersetuju dengan tindakan Naeun memaafkan individu tersebut. Bagi mereka, itu semua adalah alasan bagi dia melepaskan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang.
“Jangan maafkan dia. Kenapa nak biarkan individu sepertinya terlepas dan berkemungkinan bakal menjadi hakim pada suatu hari nanti?”
“Kenapa awak percayakannya…. masalah mental ataupun tidak, ini akan menyebabkan orang lain yang meninggalkan komen buruk akan berterusan melakukannya.”
“Macam mana seseorang boleh diterima masuk fakulti undang-undang walhal dia mempunyai masalah mental.”
“Salah satu sebab kenapa komen buruk berterusan wujud adalah kerana para selebriti membuat keputusan untuk memaafkan mereka.”
“Naeun, awak ini terlampau baik.”
“Dia seorang graduan fakulti undang-undang universiti Seoul. Dia pastinya lebih tahu ‘berlakon’ dan arif mengenai alasan yang perlu diberikan apabila ditangkap. Kenapa Naeun maafkan dia? Kemaafan tak sepatutnya digunakan supaya orang lain boleh melakukan kejahatan. 99% daripada orang yang meninggalkan komen jahat akan menitiskan air mata buaya dan menggunakan alasan masalah mental untuk melepaskan diri. Mereka semua ini mampu memberikan lakonan tahap Oscar.”
Mesti Naeun dah fikir panjang sebelum membuat keputusan ini. Harapnya jalan yang dipilihnya ini tidak memakan diri pada masa hadapan.
Sumber: Allkpop, Netizenbuzz