Jangan main-main, walaupun pada awalnya lagu ini didendangkan khas untuk kanak-kanak tetapi fenomenanya menjangkau pelbagai lapisan usia! Siapa sangka lagu “Baby Shark” berjaya membawa pulangan wang yang banyak selepas menjadi antara lagu yang ‘berhantu’.
Dikeluarkan pada tahun 2015, tiada siapa yang menjangkakan lagu kanak-kanak ini bakal menjadi siulan orang ramai bukan sahaja di Korea bahkan di seluruh pelosok dunia. Sedangkan pemilik Pinkfong sendiri iaitu Kim Minseok tidak menjangkakan kejayaan lagu ini! Pada tahun 2010, lelaki itu telah menubuhkan SmartStudy Co. dan 5 tahun kemudian, jenama pendidikan kanak-kanak di bawah naungannya telah menghasilkan lagu “Baby Shark”
Kalau anda nak tahu, ayah Kim Minseok adalah antara orang penting dalam Samsung Publishing Co. yang juga memiliki sebahagian daripada syarikatnya itu. Menurut daripada apa yang dimiliki oleh saudara Kim di dalam dua syarikat tersebut, harta mereka kini mencecah $125 juta (RM 520 juta) disebabkan oleh populariti lagu “Baby Shark”.
Bukan itu sahaja, francais “Baby Shark” ini dikembangkan lagi dengan konsert secara langsung yang dipanggil sebagai “Baby Shark Live!” dan turut menjelajah ke serata dunia bagi melawat kesemua peminat cilik mereka. Bayangkan, muzik video lagu ini telah mencecah 3 billion tontonan di laman rasmi Youtube sehingga berjaya menempatkan diri dalam carta Billboard Hot 100.
Sumber: Bloomberg