Selepas 16 episod bermain dengan perasaan penonton, akhirnya drama penyiasatan “The Good Detective” di bawah saluran JTBC menamatkan tayangannya kelmarin.
Sinopsis “The Good Detective”
Kang Do-chang (Son Hyun-joo) telah bekerja sebagai detektif selama 18 tahun. Lelaki ini melakukan siasatan menggunakan pengalamannya dan juga kenalan rapat tanpa menghiraukan teknik saintifik atau pun kuasa pertimbangan.
Oh Ji-hyeok (Jang Seung-jo) pula adalah seorang detektif elit dan mempunyai pengalaman selama 9 tahun. Tak seperti Do-chang, dia menyiasat menggunakan bukti selain memerhatikan emosi penjenayah. Disebabkan oleh trauma semasa kecil, dia langsung tidak berkongsi perasaannya. Lelaki ini juga adalah seorang yang sangat kaya kerana mendiang pak ciknya telah meninggalkan sejumlah harta pewarisan.
Tamat bahagia
[Amaran SPOILER]
Rupanya ramai yang memuji “The Good Detective” sebagai antara drama penyiasatan terbaik untuk tahun ini. Berbekalkan kerjasama Do-chang dan Ji-hyeok selain sokongan pasukan siasatan mereka, akhirnya penjenayah yang berada dekat sahaja dengan mereka berjaya dibanteras.
Mungkin ada yang tidak puas hati dengan keputusan Yoon Jung-seok (Ji Seung-hyun) membunuh diri sebelum kejahatannya didedahkan tapi ramai yang lega akhirnya Oh Jong-tae (Oh Jung-se) dibawa ke muka pengadilan. Malah ramai yang seronok melihat hubungan romantik di antara Ji-hyeok dan Seo-kyung yang mula bercambah meskipun perlahan. Yang penting semuanya gembira!
“The Good Detective” juga berjaya mengekalkan reputasi yang hebat sepanjang tayangannya apabila berjaya meraih rating tertinggi bagi slot drama Isnin-Selasa setiap kali ke udara. Ianya juga melabuhkan tirai dengan rating tinggi iaitu 7.5%.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.