Ikuti Kami:

Dispatch Dedah Banyak Keraguan Dari Pendedahan Bekas Kekasih, Agensi Kim Seonho Beri Respon

Dispatch Dedah Banyak Keraguan Dari Pendedahan Bekas Kekasih, Agensi Kim Seonho Beri Respon

Sejak seminggu lalu, industri hiburan Korea dikejutkan dengan kisah Kim Seon-ho dan bekas kekasihnya yang berantakan dek pendedahan mengenai perjanjian palsu untuk berkahwin selepas berjanji untuk menggugurkan anak.

Selepas daripada insiden tersebut, pelakon lelaki itu telah pun memohon maaf selain digugurkan daripada pelbagai projek seperti beberapa filem dan program “2 Days 1 Night”.

Terbaru, saluran media Dispatch telah tampil membuat pendedahan mengenai beberapa soalan buat Choi Young-ah yang merupakan bekas kekasih pelakon itu berdasarkan bukti yang dikumpul oleh mereka.

Soal Dispatch,

Choi Young-ah, awak kenal dengan Kim Seon-ho di sebuah perjumpaan rakan pada penghujung 2019 kan? Dan pada awal Mac, kalian mula bercinta. Hanya pada pertengahan Mac, awak mengakui yang awak sebenarnya pernah berkahwin.

Walaupun Kim Seon-ho dikatakan agak terkejut dengan pendedahan itu, dia menanyakan hal tersebut kepada rakannya. Malah rakan disekelilingnya menghalangnya daripada meneruskan hubungan itu tapi kata pelakon itu,

Saya mahu bersama dengannya. Saya mula bercinta dengannya kerana menyukainya. Saya tahu, ibu bapa saya pasti akan berasa risau. Pun begitu, walaupun dia merupakan seorang janda, ianya tidak mengubah apa-apa.

Sentiasa mahu bersama dengan Choi Young-ah, Kim Seon-ho sering bergerak antara Busan dan Gapyeong untuk bersamanya. Mereka sering melawati zoo, taman tema dan pinggiran Seoul untuk berjanji temu.

kim seonho choi youngah

Menurut Dispatch, Choi Young-ah mengatakan bahawa mereka perlu merahsiakan hubungan tersebut dan langsung tidak memegang tangan apabila bersama di luar. Disebabkan itu, timbul persoalan mengapa wanita itu perlu menyembunyikan momen bahagia mereka daripada pengetahuan orang ramai. Adakah kerana wanita itu mahu menggunakan alasan tersebut dan mengatakan bahawa Kim Seon-ho berubah selepas mereka gugurkan anak itu?

Hubungan mereka mula berantakan apabila Kim Seon-ho tidak tahan dengan Choi Young-ah yang kerap kali menipunya. Ini merupakan permohonan maaf wanita itu selepas mereka berpisah seketika,

Seon-ho, saya minta maaf kerana melakukan ini ketika awak di set penggambaran. Saya cintakan awak dan mahukan yang terbaik untuk awak namun ianya bukanlah alasan kepada penipuan saya. Saya tahu saya melakukan kesalahan kepada awak. Saya mahu kita bahagia jadi saya mendiamkan sahaja mengenainya. Tapi baru saya sedar bahawa ia menyakiti dan membuatkan awak berasa tidak senang. Saya berasa sakit sekarang namun ianya semua salah saya. Jadi, saya akan belajar daripadanya dan menahan perasaan sakit ini.

Saya tahu awak tak mahu mendengar apa-apa daripada saya dan awak mungkin tidak mempercayai apa yang saya katakan. Tapi awak adalah segala-galanya buat saya dan saya mahu memohon maaf daripada lubuk hati ini. Saya minta maaf kerana telah menyakiti awak.

Saya tinggal di rumah sejak semalam dan membayangkan apa yang berlaku sekiranya saya memilih jalan yang lain. Saya juga terfikir mengenai perasaan awak dan apa yang patut saya lakukan mulai saat ini. Saya merasakan bahawa saya boleh berubah dengan menjadi lebih jujur dengan awak. Saya sentiasa merasakan bahawa saya seorang yang sukar difahami, jadi saya tidak banyak berkongsi mengenai diri sendiri. Tapi saya sedar kini bahawa saya sepatutnya meluahkan segalanya pada awak. Malu bila terfikirkan bahawa semuanya akan jadi lebih mudah kerana awak pernah meyakinkan saya sebelum ini namun saya tidak memahaminya.

Bukannya saya tidak kisah kerana menipu awak. Saya lakukan semua itu kerana terlalu mencintai awak. Malah, apa yang saya rasakan ini adalah lebih daripada perasaan cinta. Saya hargai awak dan saya sentiasa mahu melindungi awak. Dan akhirnya saya membuat keputusan yang salah. Semalam, awak cuba memberikan saya peluang kedua supaya dapat membetulkan keadaan. Saya tahu saya sudah menghampakan awak dan sukar untuk dibaiki kini, namun sekiranya awak boleh mencuba semula, saya akan melakukan yang terbaik.

Menipu bukanlah sikap saya. Saya melakukan kesalahan kerana kita asyik bergaduh sejak kebelakangan ini dan saya tidak mahu rasa janggal di antara kita. Bodohnya saya kerana melakukan hal itu, tapi sejujurnya saya hanya mahukan kebahagiaan kita. Itu sahaja. Saya bukannya cuba memberi alasan terhadap tindakan saya. Cuma saya mahu menjelaskan yang apa yang dilalukan adalah yang terbaik untuk kita. Saya menyesal kini.

Saya tahu sekiranya saya bercakap benar, awak akan memahaminya. Tapi saya risau sekiranya awak berasa tidak sedap hati di dalamnya. Dan saya mahu awak berasa selamat bersama saya. Bila difikirkan semula, saya tak tahu sekiranya saya boleh melakukan perkara yang sama, jikalau berada di posisi awak. Saya tahu awak mencuba yang terbaik untuk memahami saya dan awak juga cuba membantu saya untuk melakukan pilihan yang betul. Sebab itu semalam, saya merasakan bahawa saya boleh menceritakan hal sebenar. Walaupun menakutkan, tapi pada ketika itu, saya merasakan bahawa saya boleh memberitahu awak segalanya dan bermula semula dengan langkah yang betul. Mesti awak terkejut, saya tahu awak pasti terkejut dan tersinggung.

Saya tahu ianya agak mementingkan diri sendiri, tapi apabila menghabiskan masa bersama awak, saya mengharapkan masa hadapan yang hebat untuk kita. Namun, saya juga berasa takut apabila awak mula popular dan karier awak melonjak dengan program TV, filem dan sebagainya. Saya merasakan bahawa saya mula berasa tertekan, sepertinya saya perlu menjadi orang yang lebih baik supaya layak berada bersama awak.. supaya kita dapat masa hadapan yang diimpikan.

Itu mungkin dapat menjelaskan mengapa saya asyik terburu-buru sejak kebelakangan ini. Saya tahu saya agak tergesa-gesa dengan kontrak dan YouTube. Ia bukannya kerana duit ataupun kejayaan. Ianya kerana saya mahu menjadi seseorang yang layak buat awak.

Awak mesti berasa marah dan dikhianati sekarang kan? Tapi saya tak pernah berniat untuk membuat awak berasa seperti itu. Saya hanya mahukan kita gembira. Saya sepatutnya lebih tahu. Bolehkan awak memperbaikinya? Saya berjanji, saya akan kembalikan kepercayaan awak. Saya tahu awak kecewa kerana saya sering membuat kesilapan yang sama dan awak mungkin tidak mampu lagi untuk mempercayai saya. Dan awak juga mungkin tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan saya lagi, tapi berikan saya sekali lagi peluang. Saya akan memperbaikinya dan saya mahu kita mencuba sekali lagi.

Saya hanya ada awak, Seon-ho. Tapi kalau awak tinggalkan saya, saya juga akan menerimanya kerana saya cintakan awak. Itu adalah sebanyak mana saya mencintai awak dan betapa seriusnya saya tentang kita. Tapi jika awak beri peluang untuk membetulkan hal ini, saya akan melakukannya. Bolehkan awak ingat semula cerita gembira kita dan mencuba lagi? Saya tidak akan menyorokkan apa-apa lagi daripada awak dan saya tidak akan memberikan alasan atas kesalahan saya lagi.

kim seonho choi youngah

Selepas permohonan maaf itu, Kim Seon-ho telah meminta pendapat rakannya mengenai hal tersebut.

Kim Seon-ho: Saya baru sahaja berpisah dengannya. Tak masuk akal betul..

Rakan ‘A’: Pagi ini?

Kim Seon-ho: Saya dapat tangkap dia menipu pagi semalam. Saya ada beritahu tidak akan terlalu bertegas dengannya. Tapi dia ditangkap menipu, dengan berkata bahawa dia tidak akan pergi ke tempat yang ada lelaki itu, namun dia tetap pergi juga.

Kim Seon-ho: Masalahnya apabila dia menceritakannya, saya ingatkan ianya adalah kisah lain dan dia berjumpa dengan lelaki lain.

Rakan ‘A’: Nampaknya dia banyak berjumpa dengan lelaki lain.

Kim Seon-ho: Saya berjumpa dengannya kerana urusan kerja, tapi dia tidak mahu menceritakan hal sebenar.

Kim Seon-ho: Saya beritahu Choi Young-ah yang dia boleh ke kelab dan tidak akan cemburu sekiranya dia pergi ke tempat yang ada lelaki. Sejujurnya, saya hanya mahukan mesej yang dia sudah sampai ke rumah, tapi dia tetap tidak mengikutinya.

Rakan ‘A’: Hanya itu yang kita mahu, tapi akhirnya..

Kim Seon-ho: Ada sekali, semasa penggambaran saya habis awal. Saya bertanya dia sedang berbuat apa, katanya dia sedang tidur. Jadi saya ke rumahnya dengan hadiah, namun dia tiada malah keretanya juga tidak kelihatan. Selepas itu dia berjanji tidak akan menipu lagi. Marahnya.

Rakan ‘A’: Awak patut berjumpa wanita lain. Jangan bercinta dengan seseorang yang membuatkan awak tidak tenang.

Kim Seon-ho turut menghantar permohonan maaf Choi Young-ah kepada rakannya.

Rakan ‘A’: Apa yang awak rasa?

Kim Seon-ho: Saya juga menyukainya.. tapi keadaan ini agak keterlaluan.

Kim Seon-ho: Saya rasakan bahawa dia akan mula menipu lagi.

Rakan ‘A’: Agak tinggi kemungkinan itu.

Rakan ‘A’: Awak nampak ada masa depan dengannya?

Kim Seon-ho: Tidak buat masa ini.

Kim Seon-ho: Sekarang, hati saya berasa sakit dan saya sedang menulis sesuatu.

Rakan ‘A’: Yang menyakitkan, sepertinya orang lain nampak bahagia dengan hubungan cinta dan perkahwinan. Susahnya..

Rakan ‘A’: Nampaknya, dia akan berterusan seperti ini.

Kim Seon-ho: Kepala saya sakit.. saya tak rasa ianya boleh diperbaiki.

Rakan ‘A’: ‘The World Of The Married’ atau ‘Love At War’.. ini bukannya drama seperti itu.

Kim Seon-ho: Awak melihatnya sebagai orang luar tapi secara dalamnya, saya berasa seperti sedang lemas. Melelahkan.

Rakan ‘A’: Awak tahu kan, yang dia hanya bermain.

Namun pada keesokan harinya, Kim Seon-ho menerima permohonan maaf Choi Young-ah selepas mendengar nasihat rakan baiknya dan juga pelakon teater ‘B’ (rakan yang paling dipercayai Kim Seon-ho). Katanya, dia tidak akan melakukan hal itu lagi.

Kemudian Dispatch membentangkan  tempoh masa 24 Julai 2020 dan 27 Julai 2020. Pada 24 Julai, Choi Young-ah mengesahkan bahawa dia sedang mengandung. Dia menghubungi Kim Seon-ho sambil menangis, malah turut menghantar mesej. Tapi dalam pendedahan asal, wanita itu mengatakan bahawa Kim Seon-ho memberikan respon ‘sampah’. Namun, lain pula cerita daripada ‘B’. Katanya, mesej Kim Seon-ho mengatakan kandungan itu ialah rezeki dan memintanya jangan menangis.

Kata ‘B’,

Pada awalnya, saya memberikan ucapan tahniah atas perkara baik itu, Namun realitinya, dia sebenarnya takut dan memikirkannya dengan mendalam. Tapi sayangnya. mereka berdua bersetuju untuk melepaskan bayi itu pergi dan dia berhati-hati semasa meminta bantuan saya.

Pada 27 Julai 2020, rakan ‘B’ menunggu Kim Seon-ho di lot parkir kereta namun dia lambat turun. Perbualan antaranya dan Choi Young-ah menjadi panjang dan dia mengubah keputusan asalnya. Ini adalah pada hari mereka mahu menggugurkan kandungan itu.

Mereka berdua turun dengan mata yang begkak. Keputusan itu semestinya sukar untuk dibuat. Semasa saya ke hospital bersama Choi Young-ah, Kim Seon-ho pergi membeli bahan-bahan untuk membuat sup rumpai laut. Dia bukannya seorang yang pandai memasak, tapi…

Malah Dispatch menekankan bahawa Kim Seon-ho mampu membaca resipi menu itu satu persatu dalam “2 Days 1 Night”. Pun begitu, Choi Young-ah mendedahkan pada asalnya bahawa pelakon itu tidak mengendahkannya selepas kandungan itu digugurkan.

kim seonho choi youngah

Dispatch turut mempersoalkan mengapa Choi Young-ah berubah meskipun Kim Seon-ho sangat berbangga dengannya. Dia turut memperkenalkan wanita itu pada kedua ibu bapanya namun tidak menyampaikan bahawa dia pernah bercerai. Dispatch turut berkongsi bahawa rakan Choi Young-ah ‘C’ mengesahkan bahawa kedua mereka mempunyai hubungan yang baik walaupun selepas kandungan itu digugurkan.

Selepas dia menggugurkan kandungan, dia menjadi rapat dengan ibu bapa Kim Seon-ho. Kim Seon-ho bekerja keras untuk menunjukkan bahawa dia boleh dipercayai. Dia juga mengambil seekor anjing peliharaan bernama Hoa supaya dia tidak sunyi apabila tinggal berseorangan.

Selepas itu, Dispatch membincangkan topik duit. Choi Young-ah menuduh Kim Seon-ho laparkan kemewahan kerana masa lampaunya dan membuatkan lelaki itu kelihatan seperti seseorang yang hanya menyediakan 2 milion won (RM 7,134) untuk prosedur menggugurkan kandungan itu. Namun, rakan Choi Young-ah, ‘D’ mengatakan hal yang lain.

Sifatnya yang suka berbelanja barang mewah merupakan sesuatu yang sukar buat Kim Seon-ho. Semasa Krismas, dia membeli tas tangan mewah berharga 7 milion won (RM24,934). Kad peribadinya dipotong jadi dia mendapatkan wang daripada Kim Seon-ho. Dia berbangga mengenainya, jadi semua rakannya tahu.

Saya agak terkejut mendengar kisah ‘2 milion won menggugurkan anak’.

Saya tak pernah nampak Choi Young-ah membayar apa-apa. Semuanya dibayar oleh Kim Seon-ho. Lelaki itu sukakan barangan mewah? Semua orang tahu siapa yang sukakan barang mewah sebenarnya.

Kedua-dua ‘C’ dan ‘D’ ialah rakan Choi Young-ah, namun mereka tetap berada di pihak Kim Seon-ho.

Choi Young-ah pastinya risau mengenai isu menggugurkan kandungan itu. Ianya merupakan masalah yang perlu dirisaukan.

Mesti dia penat menipu. Ironi betul dia cuba mengkritik Kim Seon-ho.

Dia sangat obses. Setiap kali membuka telefon, pastinya dia akan memasuki DM.

Dia mahu Kim Seon-ho jatuh bankrap dan kembali kepadanya.

Dispatch turut mendedahkan e-mel (bertarikh 11 Januari 2021) yang diterima mengenai Choi Young-ah dan sebab mengapa dia bercerai dan hubungannya dengan Kim Seon-ho.

Saya merasakan Kim Seon-ho yang meraih populariti dengan program seperti ‘2 Days 1 Night’ dan ‘Start-Up’ semakin kerap datang ke kompleks flat saya sejak kebelakangan ini. Saya terserempak dengannya di lif, meskipun cuba menutup wajahnya dengan topi. Sudah berbulan lamanya.

Dia bercinta dengan penyampai cuaca KBS, Choi Young-ah yang kaya dan pernah berkahwin dengan [ditutup]. Dia merupakan penjual di Instagram kini. Pun begitu, saya tak dapat menangkap gambarnya dalam lif.

Sebelum Choi Young-ah memuktamadkan penceraian dengan suaminya, dia [ditutup[. Saya tak pasti sekiranya Kim Seon-ho mengetahuinya tapi yang pasti, dia sering ke rumahnya. Dia menutup penuh muka, tapi saya pasti itu dia. Dia kelihatan seperti Kim Seon-ho yang dilihat dalam televisyen. Apa pun, saya pernah berjumpa dengannya sebanyak empat kali – kesemuanya pada hari Ahad.

Disebabkan saya tidak boleh mengesahkan bahawa dia ialah Kim Seon-ho, apa kata awak menyemak dan memastikannya? Mungkin dia hanyalah seseorang yang seiras Kim Seon-ho dan saya tersilap orang. Jadi, saya biarkan Dispatch melakukan selebihnya. [Ditutup], awak tahu. Saya juga selalu nampak dia di lot parkir kereta.

kim seonho choi youngah

Bahkan khabarnya, pada ketika itu, Choi Young-ah ada menyampaikan pada orang sekeliling bahawa dia menerima ugutan daripada individu berkaitan dengan bekas suaminya.

Rakan Kim Seon-ho, ‘E’, menyedari mengenai insiden ini pada Januari 2021 namun dia terkejut apabila umum mengetahuinya.

Kim Seon-ho pernah menceritakan bahawa dia mengalami waktu yang sukar kerana situasi yang menyelubungi Choi Young-ah. Mereka menerima ugutan, diganggu gangster, isteri bekas suaminya mengacau, saman… terdapat banyak cerita yang saya tidak mampu luahkan.

Rakan ‘E’ juga mengatakan bahawa Choi Young-ah mempunyai pelbagai rakaman Kim Seon-ho termasuklah audio dan video.

Kim Seon-ho dan Choi Young-ah pernah menyemak mesej KakaoTalk masing-masing. Pada ketika itu, dia menjumpai lambakan rakaman video dan audionya. FIkirkan daripada perspektifnya, tidak kah ia menakutkan?

Hubungan Kim Seon-ho dan Choi Young-ah berlangsung sehingga April 2021, di mana itu ialah kali terakhir mereka berjumpa. Pada Mei 2021, keduanya membawa haluan masing-masing. Dispatch meragui kenyataan Choi Young-ah yang mengatakan bahawa dia menggugurkan kandungan apda Julai 2020, namun mereka berpisah 10 bulan kemudian pada Mei 2021.

Kata-kata terakhir ‘B’ buat Dispatch,

Kim Seon-ho pernah mengatakan hal ini. Memang benar dia melepaskan anak itu pergi.. namun kerana ia adalah bersama wanita yang disayanginya, dia cuba memahami kemahuan tersebut. Dia tidak mahu berlawan mengenai kehidupan peribadinya di hadapan umum. Bukannya memberi respon, dia hanya memohon maaf. Itu ialah Kim Seon-ho yang baik. Dia mempunyai hubungan yang normal seperti orang lain. Dia tidak pernah menyorokkannya. Saya nampak semuanya.

Berikut ialah susur masa yang diringkaskan Dispatch,

Akhir 2019 – Terjumpa secara tak sengaja di perjumpaan rakan.

Februari 2020 – Temu janji di kafe dan teater.

Awal Mac 2020 – Bercinta secara rasmi.

Pertengahan Mac 2020 – Choi Young-ah mengakui dia pernah berkahwin dahulu.

April – Jun 2020 – Janji temu di Busan, Gapyeong, Sungai Han dan Seoul.

7 Julai 2020 – Kim Seon-ho and Choi Young-ah putus buat pertama kali kerana penipuan wanita itu.

8 Julai 2020 – Choi Young-ah mohon maaf, Kim Seon-ho menerimanya.

24 Julai 2020 – Choi Young-ah mengaku dia mengandung.

27 Julai 2020 – Gugurkan kandungan.

Akhir Julai – Awal Ogos 2020 – Kim Seon-ho perkenalkan Choi Young-ah kepada ibu bapanya.

Pertengahan Ogos 2020 – Kim Seon-ho masak sup rumpai laut selama dua minggu, berikan ubatan herba sebagai hadiah dan mengambil Hoa.

September 2020 – Kim Seon-ho and Choi Young-ah hadiri perjumpaan rakan.

7 Oktober 2020 – Kedua mereka pergi ke kafe haiwan bersama rakan.

Oktober – Disember 2020 – Tayangan ‘Start-Up’

Disember 2020 – Hal peribadi Choi Young-ah berbangkit.

11 Januari 2021 – Dispatch menerima info mengenai Kim Seon-ho, Choi Young-ah dan latar belakangnya.

Januari – Mac 2021 – Muzikal Kim Seon-ho ‘Frozen’ bermula dan Choi Young-ah menghadirinya.

April 2021 – Kedua mereka memilih untuk berpisah seketika.

Mei 2021 – Kim Seon-ho and Choi Young-ah memutuskan hubungan.

Jun 2021 – Choi Young-ah menghantar mesej mengatakan dia benci lelaki itu.

Oktober 2021 – Choi Young-ah memuat naik entri di laman komuniti.

Selepas pendedahan Dispatch ini, SALT Entertainment memberikan respon bagi pihak Kim Seon-ho,

Tiada apa yang mahu dikatakan, maafkan kami.

Berat betul masalah ini.

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitterInstagram dan Telegram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...