Digembar-gemburkan sebagai naskhah yang sama hebat dengan “SKY Castle” dan “The World Of The Married”, sudah pasti ramai yang meletakkan harapan tinggi pada drama JTBC terbaru iaitu “Elegant Friends”. Pun begitu, penonton nyata hampa kerana rating yang direkodkan hanyalah 3.2% untuk episod pertamanya dan jatuh ke 2.7% pada episod keduanya.
Melihatkan kejayaan drama keluarga tersebut sebelum ini, JTBC menggunakan peluang tersebut untuk mempromosikan “Elegant Friends” sebagai drama yang membawa isu dan debaran yang sama. Tambahan pula, dengan barisan pelakon yang hebat, poster serta trailer yang menakjubkan, semakin ramai yang teruja untuk menonton naskhah tersebut.
Walaubagaimanapun, penonton disajikan dengan kandungan yang lain daripada apa yang diuar-uarkan. Daripada episod pertama, isinya yang ‘lemah’ ternyata berada di belakang kalau nak dibandingkan dengan “SKY Castle” dan “The World Of The Married”.
Ramai yang menyangkakan “Elegant Friends” menuju ke arah perlawanan psikologi yang mendebarkan di antara setiap watak selain dilengkapi dengan babak thriller misteri tapi lain pula yang ditayangkan. Bagi dua episod awal ini, premis drama ini sepertinya memberi fokus kepada masalah yang dihadapi oleh lelaki yang menginjak usia pertengahan.
Malahan babak yang disajikan bukan sahaja mengejutkan tetapi turut menimbulkan rasa tidak selesa penonton. Melihatkan pasangan berkahwin yang tanpa segan melawat ke rumah pelacuran, lelaki tua yang mengayat perempuan muda dan geng lelaki yang buat lawak berbaur lucah di dalam tandas membuatkan drama ini nampak ‘murah’. Kebanyakan skrip yang dituturkan juga sepertinya tidak bersesuaian dengan ‘level’ pelakon veteran yang hebat di dalamnya.
Tapi masih banyak lagi yang belum dikupas oleh “Elegant Friends” memandangkan baru dua episod sahaja ditayangkan. Bahkan selain daripada watak Ahn Gung-ceol (Yoon Joon-sang) dan Nam Jung-hae (Song Yoon-ah), banyak lagi karakter lain yang masih lagi kelihatan samar-samar dan belum diperkenalkan lagi.
Rata-rata penonton berharap drama ini akan mula ‘berlari’ bermula daripada episod ketiga. Jika suasananya kekal sama seperti episod kedua, berkemungkinan besar ia akan kelihatan kecil kalau diletakkan di sebelah “SKY Castle” dan “The World Of The Married”.
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.