Netflix sememangnya dikenali sebagai laman penstriman terbaik untuk mencari kandungan asal Korea. Bahkan ia turut rangkumi pelbagai genre ‘hot’ seperti saspens, thriller, komedi dan juga romantik.
Sentiasa menyediakan yang terbaik untuk penonton setianya, Netflix telah mendedahkan pelbagai naskhah baru yang akan menemui penonton pada tahun ini menerusi sidang media ‘See What’s Next Korea 2021’
Drama bersiri
The Silent Sea
Ianya berlatar belakang kehidupan masa hadapan di mana makanan dan air hampir habis di bumi dek masalah penggurunan global. “The Silent Sea” membawa kisah anggota pasukan khas yang berlepas ke bulan untuk menjalankan penyelidikan. Diterajui oleh Gong Yoo, Bae Doo-na, Lee Joon selain dihasilkan oleh Jung Woo-sung, naskhah ini menjanjikan pelbagai babak saspens buat penonton.
D.P
Naskhah ini menceritakan kisah Joon-ho, seorang tentera yang berkhidmat untuk angkatan tentera Korea yang secara tiba-tiba menjadi ahli unit ‘Deserter Pursuit’ yang ditugaskan untuk menjejaki tentera yang melarikan diri dan melalui pelbagai realiti anak muda yang keliru. Siri ini dijangka akan mengimbangkan elemen berdebar dan thrill dalam mengejar askar pelarian tapi dalam masa yang sama turut menonjolkan cerita mengenai penderaan mental dan kesakitan yang memaksa para tentera ini melarikan diri. “D.P” pastinya akan membuatkan penonton tak sabar menantikannya memandangkan ianya dibarisi oleh pelakon hebat seperti Jung Hae-in, Koo Kyo-hwan, Kim Sung-kyun dan Son Seok-koo.
My Name
“My Name” menceritakan kisah Ji-u yang menyertai polis sebagai pengintip dalam sebuah organisasi jenayah bagi membongkar rahsia sebenar di sebalik kematian ayahnya. Dalam misi tersebut, penonton akan disajikan dengan pelbagai babak saspens dek misi balas dendam Ji-u selain kebenaran yang memeritkan. Pastinya seronok kerana ia diterajui oleh pelbagai nama besar seperti Han So-hee, Park Hee-soon, Lee Hak-joo dan Jang Yul.
Move To Heaven
Siri ini menampilkan seorang lelaki muda bernama Geu-ru yang mengalami sindrom Asperger dan penjaganya, Sang-gu. Mereka kemudiannya memulakan perniagaan pembersihan trauma dan membongkar rahsia yang ditinggalkan si mati. Bagi menyampaikan kata-kata terakhir si mati yang pasti akan menyentuh perasaan penonton, pelakon Lee Je-hoon dan Tang Jun-sang bertanggungjawab melakukannya.
Squid Game
Ditawarkan hadiah kemenangan sebanyak 40 juta, penonton akan menyaksikan permainan survival misteri yang disertai ratusan orang. Dek babak saspens dan berdebar, penonton dijamin akan melekat di hadapan kaca televisyen apabila melihat kejituan para pemain yang sanggup menggadaikan nyawa mereka oleh pilihan yang ekstrem. Pastinya perlu dilihat nanti kerana “Squid Game” dibintangi oleh pelakon popular seperti Lee Jung-jae dan Park Hae-soo.
Love Alarm 2
Drama ini berkisar dalam dunia di mana notifikasi daripada aplikasi ‘Love Alarm’ menjadi satu-satunya tanda kepada cinta. Kisah sambungan kepada seorang gadis yang tidak mampu mencetuskan ‘Love Alarm’ miliknya dan dua lelaki yang mencintainya cuba menyelidik perasaan sebenar gadis itu. Jangan lupa saksikan drama ini yang membarisi pelakon sedang meningkat naik iaitu Kim So-hyun, Song Kang dan Jung Ga-ram.
Hellbound
“Hellbound” mengisahkan fenomena alam ghaib dialami oleh individu yang diseret ke neraka dek pertemuan tidak dijangka dengan malaikat maut. Diadaptasi daripada webtoon popular, ianya menyajikan pelbagai situasi yang tidak dikira keajaiban mahupun sumpahan. Disebabkan oleh kebangkitan kumpulan keagamaan baru yang menggambarkan kejadian itu sebagai keinginan ilahi, penduduk dunia cuba teruskan hidup dalam dunia yang kian menggila. Sesungguhnya hebat, ianya dibarisi oleh Yoo Ah-in, Kim Hyun-joo, Park Jung-min, Won Jin-ah dan Yang Ik-jun.
All Of Us Are Dead
Membawa kisah gerun mengenai sekumpulan manusia yang terperangkap dalam sekolah menengah di mana virus zombi sedang menular dan semua yang cuba menyelamatkan mereka melalui pelbagai situasi ekstrem dan kejutan dek kebenaran yang tidak dijangka. Siri ini menarik perhatian ramai kerana ia dibintangi oleh ramai muka baru seperti Yoon Chan-young, Park Ji-hu, Cho Yi-hyun, Lomon dan Yoo In-soo.
Kingdom: Ashin Of The North
Siri ini ialah sekuel sampingan buat drama sensasi “Kingdom” mengenai Ashin iaitu pewaris kepada kota Jurchen. Selain itu, ia turut menyelongkar rahsia disebalik kebangkitan zombi tersebut. Ia merupakan smabungan kepada babak apabila Lee Chang (Ju Ji-hoon) yang bertemu dengan Ashin di akhir musim kedua “Kingdom” ketika cuba membongkar rahsia disebalik tumbuhan penyembuhan itu. Bukan sahaja Jun Ji-hyun, drama ini turut akan disertai oleh Park Byung-eun.
Filem
Night In Paradise
Filem ini membawa kisah seorang lelaki yang menjadi sasaran geng penjenayah dan seorang wanita yang tersepit di penghujung nyawanya. Jangan lupa saksikannya kerana ia dibarisi oleh nama hebat seperti Cha Seung-won, Jeon Yeo-bin dan Uhm Tae-goo.
Carter
Belum didedahkan lagi tarikh tayangan serta pelakonnya, “Carter” ialah sebuah filem thriller pengejaran yang membawa kisah seorang ejen yang kehilangan memori dan dicampak ke dalam sebuah misi misteri.
Moral Sense
Tidak dikongsikan lagi barisan pelakonnya, “Moral Sense” membawa kisah romantik lain daripada lain mengenai seorang lelaki yang mempunyai minat berbeza dalam kehidupan seksualnya dan seorang wanita yang tanpa sengaja mempelajari mengenainya. Berdasarkan webtoon dengan nama yang sama, ia menonjolkan babak kelakar apabila watak utamanya cuba menyorokkan ‘minat’ tersebut daripada pengetahuan rakan sekerjanya.
Sitkom
So Not Worth It
Sitkom ini menceritakan kisah pelajar daripada pelbagai kewarganegaraan yang tinggal di bangunan asrama universiti yang sama di Seoul. Ia memaparkan pelbagai kejadian yang menonjolkan kasih sayang, persahabatan dan juga pengembaraan hidup. Ianya dibintangi Park Se-wan, Shin Hyun-seung, Choi Young-jae (GOT7), Minnie ((G)I-DLE) dan Han
Hyun-min.
Fuh! Banyak betul drama dan filem yang menarik bakal menemani anda sepanjang tahun ini di Netflix. Mesti dah tak sabar kan?
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.