Ikuti Kami:

“Bolehkah Manusia & Hologram Jatuh Cinta?” – Sebab Anda MESTI Layan Drama Netflix ‘My Holo Love’!

“Bolehkah Manusia & Hologram Jatuh Cinta?” – Sebab Anda MESTI Layan Drama Netflix ‘My Holo Love’!

Drama Korea sekarang ini bukan kaleng-kaleng tahu! Idea yang direalisasikan pihak produksi bagi membawa kelainan dalam setiap naskhah ciptaan mereka memang selayaknya mendapat tepukan gemuruh. Kadang-kadang kita sebagai penonton pun kagum dengan penyampaian dan jalan cerita sehingga tertanya-tanya bagaimana mereka boleh terfikirkan kisah sebegini.

“My Holo Love” berbeza dengan drama sci-fi lain

Sama juga dengan drama melodrama sci-fi “My Holo Love” yang memulakan tayangannya pada 7 Februari menerusi laman penstriman popular di seluruh dunia iaitu Netflix. Naskhah ini yang mengangkat tema cinta di antara manusia dan hologram nyata berbeza dengan beberapa drama sci-fi lain yang pernah ditayangkan sebelum ini. Meskipun ramai yang terbayangkan naskhah dengan latar belakang yang sama seperti filem “I’m A Cyborg But That’s Okay” atau pun drama “Are You Human Too?” tetapi “My Holo Love” adalah berbeza kerana penampilan watak hologram yang benar-benar kelihatan seperti manusia lantas lebih mudah diterima oleh penonton.

Menerusi sidang akhbar yang berlaku pada 4 Februari lepas, kedua teraju utama drama ini iaitu Yoon Hyunmin dan Go Sunghee telah berkongsi banyak input dan kisah menarik mengenai drama terbaru Netflix “My Holo Love” yang mempunyai 12 episod ini.

netflix my holo love

Sinopsis dan watak

Mengalami masalah buta wajah, seorang wanita kesepian sentiasa mengasingkan dirinya daripada orang ramai. Disebabkan oleh trauma diejek pada masa lalu, Soyeon (Go Sunghee) sering dipandang pelik oleh orang sekelilingnya dan dianggap sombong kerana sikapnya yang pendiam dan tidak bercampur langsung dengan orang lain. Wanita yang bekerja sebagai pembantu pengurus di syarikat pembuat kaca mata “Prism” merupakan seorang yang sangat berdedikasi dengan kerjayanya.

netflix my holo love

Holo (Yoon Hyunmin) pula ialah satu ciptaan AI dalam bentuk hologram yang sangat sempurna daripada pelbagai aspek. Ciptaan ini membuatkannya mampu mengelak bahaya, kebijaksanaan yang tiada batas dan dia juga mempunyai personaliti yang sangat baik dan lembut. Kemunculannya dalam hidup Soyeon membawa sinar baru kepada wanita itu yang sebelum ini hidup terasing daripada dunia luar.

Go Nando (Yoon Hyunmin), pencipta Holo telah berpindah ke rumah bersebelahan dengan Soyeon dengan harapan agar dapat memerhatikan interaksi wanita itu dan Holo. Walaupun AI ciptaannya merupakan seorang yang sangat baik tetapi personaliti dirinya sendiri adalah 180 darjah berbeza di mana dia berhati kering dan dingin. Di mata dunia, Nando sudah pun ‘mati’ lantas dia hidup seperti hantu sejak sekian lamanya. Namun selepas dia mengenali wanita sunyi itu, lelaki itu mahu kembali hidup dalam dunia sebenar.

netflix my holo love

Yoon Hyunmin cabar diri bawa dua watak

Buat julung kalinya Yoon Hyunmin telah membawa dua karater yang sangat berbeza personalitinya dalam satu drama. Ingatkan susah tetapi pelakon lelaki ini dengan tenang menjawab bahawa watak Holo tiada beza sangat dengan watak yang pernah dibawanya sebelum ini bahkan dia merasakan bahawa pengarah lebih mengalami kesukaran dalam ‘menghidupkan’ watak AI ini.

Pada awal drama ini, Holo tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai emosi manusia dan dia mula mempelajarinya sepanjang siri ini berlangsung. Jadi apabila dia sedang mengenali satu emosi baru, saya akan sedaya upaya memberi fokus kepada emosi itu sahaja pada masa tersebut.

Namun begitu, di akhir drama ini, Holo sudah mengenali pelbagai jenis emosi manusia. Jadi saya cuba untuk memberikan ekspresi muka yang menggambarkan perjalanan proses tersebut.

Tetapi pelakon kacak ini menjelaskan bahawa dia perlu melipat gandakan usahanya sebanyak dua kali. Ini kerana dia perlu membuat semua perkara berulang kali seperti membawa watak yang berbeza, menukar pakaian dua kali, menerima solekan yang berlainan dan juga dua intonasi suara. Fuhh mesti penat!

netflix my holo love

Bukan sahaja Yoon Hyunmin, bahkan Go Sunghee juga perlu mencabar dirinya kerana ini adalah pertama kali dia mengenali penyakit ‘buta wajah’.

Sedikit susah kerana saya perlu berlakon menggunakan daya imaginasi. Disebabkan saya tidak mempunyai masalah ini, saya berusaha untuk tidak melihat secara terus ke mata orang lain semasa berlakon.

Selain itu, watak ini juga sering terkena serangan panik lantas saya perlu meluahkan perasaan Soyeon pada ketika itu menerusi ekspresi muka sahaja. Jadi, itu adalah sesuatu yang agak susah.

Episod menarik semasa penggambaran

Dalam drama mesti semuanya nampak serius belaka kan? Tapi sebenarnya banyak perkara kelakar dan menghiburkan yang berlaku di sebalik tabir. Cuma penonton sahaja yang tidak tahu! Apabila ditanyakan soalan ini, kedua-dua pelakon ternyata ada banyak cerita yang nak dikongsikan.

Go Sunghee sambil tersipu malu menceritakan kisah lawak yang terjadi semasa penggambaran satu babak di gelanggang meluncur ais. Wanita ini tersenyum lebar menceritakan insiden ini kerana dia sebenarnya tidak pandai meluncur langsung dalam kehidupan sebenar.

Kami akhirnya merakamkan babak itu dengan cara di mana jurukamera merakamkan wajah saya sambil memegang tangan saya. Ada juga satu rakaman penuh satu badan di gelanggang itu di mana saya hanya menyarungkan selipar dan berpura-pura meluncur dengan muka tenang seperti sayalah orang yang paling hebat meluncur.

“Bolehkah Hologram jatuh cinta?”

Apabila ditanyakan mengenai dialog penting yang menggambarkan keseluruhan drama ini. Go Sunghee memilih “Bolehkah Hologram jatuh cinta?” sebagai suatu soalan yang akan sentiasa bermain di benak penonton sepanjang menonton “My Holo Love” nanti. Ini kerana watak Holo yang baik dan bertimbang rasa pasti membuatkan ramai hati wanita cair, tambahan kacak pula! Jadi tak mustahil manusia boleh jatuh hati dengan ciptaan AI (kalau wajah seiras dengan Yoon Hyunmin lah!)

netflix my holo love

Yoon Hyunmin turut berkongsi satu kisah di mana dia terpaksa merakamkan babak Holo dan Nando bercakap dengan penuh emosi antara satu sama lain. Dia melakonkan watak Nando dahulu dan selepas menangis teresak-esak, lelaki itu mandi sebelum kembali ke set yang sama untuk melakonkan watak Holo pula.

Tetapi disebabkan Yoon Hyunmin masih lagi terbawa-bawa emosi Nando sehingga menyebabkan dia menangis teruk seperti sebelumnya. Pun begitu, pengarah memintanya merakamkan semula babak tersebut kerana AI tidak sepatutnya menangis sebegitu. Pengarah “My Holo Love” mahukan air mata Holo mengalir terus daripada tengah dan bukannya daripada tubir mata kerana ia akan kelihatan seperti manusia. Agaknya kerana masih penuh dengan emosi, Yoon Hyunmin membuat kelakar sambil mengusik pengarah itu.

Awak buatlah!

Keserasian teraju utama dari mula hingga akhir!

Kalau anda nak tahu, kedua-dua pelakon ini sebenarnya baru pertama kali bergandingan dalam drama yang sama walaupun sudah lama menceburkan diri dalam industri seni. Biasanya akan janggal apabila pertama kali bersua muka tapi nampaknya lain pula cerita dengan Go Sunghee dan Yoon Hyunmin!

netflix my holo love

Menurut kedua-duanya, mereka juga tidak menyangka bahawa mereka akan ‘kamceng’ dalam jangka masa yang singkat sekali. Bahkan Go Sunghee dan Yoon Hyunmin akui ini adalah kali pertama perkara ini terjadi sepanjang mereka bergelar pelakon. Wow!

Tayangan bermula 7 Februari di Netflix

Go Sunghee berharap agar “My Holo Love” akan melekat di jiwa para penonton walaupun ia ditayangkan dalam bahasa yang berbeza daripada penonton global. Yoon Hyunmin menyatakan bahawa penggambaran drama ini adalah sangat menyentuh perasaan dan dia berharap agar penonton juga dapat mengalami emosi yang sama. Disebabkan naskhah ini membawa kisah tiga watak yang kesepian, dia meminta agar sesiapa yang mempunyai masalah yang sama dapat merawat kesedihan itu menerusi drama ini.

netflix my holo love

Kepada semua peminat K-Drama yang sukakan genre romantik dan melodrama ini, anda MESTI menonton naskhah ini. Meskipun diiringi dengan tema sci-fi tetapi ianya bukanlah drama yang susah untuk difahami. Selepas menonton “My Holo Love”, siapa tahu anda mungkin akan jatuh cinta dengan Hologram pula kan?

Tonton “My Holo Love” di Netflix sekarang!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...