Ikuti Kami:

7 Perkara Yang Anda Mungkin Dah Lupa Mengenai ‘Running Man’

7 Perkara Yang Anda Mungkin Dah Lupa Mengenai ‘Running Man’

Sedar tak sedar, usia rancangan “Running Man” dah menjangkau usia 10 tahun! Admin pun tonton daripada sekolah menengah sampai dah kerja pun sekarang. Fuhh! Masih bertahan sehingga sekarang walaupun dah melalui pelbagai liku yang menjerihkan. Untuk masa ini, sebanyak 485 episod yang sudah ke udara dan banyak lagi yang akan ditayangkan pada masa hadapan.

Dah hampir 500 episod ini, pasti ada penonton yang ingat ingat lupa tentang kemunculan awal rancangan awal ini. Di sini, terdapat senarai beberapa perkara yang anda mungkin dha lupa mengenai “Running Man”. Jom!

1. Rebutan ‘Running Ball’ dan Loceng Menyeramkan

Siapa yang tonton “Running Man” daripada awal pasti ingat tentang penggunaan ‘running ball’ dan ‘running bell’ kan? Kesemua ahli rancangan tersebut dan tetamu jemputannya akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu geng pengejar dan geng dikejar. Siap yang mengejar perlu memakai ‘running bell’ bagi memberikan amaran kepada kumpulan yang menyembunyikan diri supaya sentiasa berjaga-jaga dengan kehadiran mereka. Sumpah seram bunyi loceng tersebut, rasa macam nak gugur jantung bila bunyi loceng itu semakin menghampiri!

Lagi pula, tak kisahlah siapa yang menang atau kalah. Nasib mereka ditentukan oleh ‘running ball’. Ada yang dapat banyak bola itu sekiranya mereka berjaya memenangi misi-misi sebelumnya. Tapi belum tentu ahli yang ada ‘running ball’ terbanyak akan terlepas daripada hukuman. Pada akhir episod itu, mereka memilih ahli yang bakal menerima hukuman menerusi satu mesin angin yang menolak nama yang selamat daripada ‘seksaan’. Nervous betul bila sampai bahagian ini!

2. Song Jihyo Bukan Ahli Asal

Sebenarnya konsep asal “Running Man” ini adalah untuk melihat selebriti lelaki bertanding antara satu sama lain. Tambahan pula, kebanyakan program hiburan yang popular pada ketika itu seperti “Infinite Challenge” dan “2 Days 1 Night” meletakkan fokus kepada lelaki sebagai tonggak rancangan mereka. Walaupun ketika episod 2-5, Song Jihyo dijemput sebagai tetamu sahaja kerana hubungan rapatnya dengan pengarah Myeok tetapi disebabkan kelincahan dan karakternya yang kelakar membuatkan dia diserap masuk terus sebagai ahli tetap “Running Man” sehinggalah sekarang. Bahkan tenaganya mampu mengalahkan kesemua ahli lelaki yang lain kecuali komander Kim Jongkook. Kuasa wanita!

3. Love Line Haha & Jihyo Lagi Dulu Dari Monday Couple

Bukan beshe-beshe tau Song Jihyo! Dikenali sebagai antara pelakon wanita cantik, kemunculannya dalam rancangan “Running Man” nyata membuatkan semua hati ahli lelakinya berdegup kencang apabila menatap wajah wanita itu yang menawan.

Kalau nak tahu, permulaan episod cinta Jihyo bukanlah bersama Gary tetapi dengan Haha dan Kim Jongkook. Sebabnya kedua-dua selebriti ini tanpa sengaja telah memuji kecantikan Song Jihyo semasa episod 4. Dalam episod 5 pula, mata tajam Yoo Jaesuk dapat tangkap Haha yang duduk rapat dengan satu-satunya ahli wanita “Running Man” pada ketika itu.

Kemudiannya Kim Jongkook menolak hubungan cintanya bersama Jihyo tetapi Haha masih lagi di dalam karakternya dan terus ‘mengejar’ pelakon wanita itu sampaikan dia sanggup melepaskan Jihyo daripada ditangkap dalam permainan sorok-sorok mereka. Cinta mati! Pun begitu, dalam episod 23, Haha dan Gary mula berebutkan cinta Jihyo sehingga Jongkook terpaksa masuk campur dan meleraikan ‘pertengkaran’ mereka itu. Selepas itu, hubungan Monday Couple terjalin sehinggalah ia musnah selepas Jihyo mengakui sedang bercinta dengan pengarah di syarikat naungannya pada ketika itu. K-Drama sangat korang!

4. Lizzy Daripada Tetamu Ke Ahli Tetap & Terus Menghilang

Kalau tidak, Lizzylah merupakan ahli termuda “Running Man” sebelum dia tinggalkan rancangan itu dan Jun Somin dan Yang Sechan sertai sebagai ahli baru. Lizzy pada awalnya hanya muncul sebagai tetamu semasa episod 13 dan 14 tetapi menyertai rancangan tersebut sebagai ahli tetap bermula daripada episod 18. Meskipun seorang idola popular, gadis itu tak segan langsung nak tunjuk kekalutannya selain menggunakan loghat Busan sebagai percakapan utamanya. Mula menghilangkan diri selepas episod 25, ramai ‘speku’ bahawa dia sebenarnya ditendang keluar tetapi dia membuat pengakuan bahawa alasan utama dia meninggalkan “Running Man” adalah kerana dia sibuk berlakon sitkom “All My Love” pada ketika itu dan tidak dapat memberi komitmen penuh sebagai ahli tetap rancangan popular tersebut.

5. Bermain Sepanjang Malam Sehingga Dinihari

Konsep asal “Running Man” ialah kesemua ahli dan tetamu akan dikurung di dalam sebuah bangunan contohnya pusat membeli-belah, muzium, istana lama dan merata lagi dan ‘berlari’ di dalamnya sepanjang malam bagi menyelesaikan misi yang diberikan oleh pihak produksi. Apabila tiba dinihari, ahli yang kalah akan menerima hukuman yang memalukan! Sebab itulah nama diberi ialah “Running Man” kerana mereka perlu berlari sepanjang rakaman tersebut berlangsung!

6. Haha Pembelot Pertama

Walaupun kini Kwangsoo lebih sinonim dengan imej ‘pengkhianat’ tetapi sebenarnya ia mula dipelopori oleh tak lain tak bukan si kenit Haha! Meskipun bersaiz kecil tetapi buah fikirannya besar tahu. Ia bermula apabila dalam satu episod di mana Jongkook yang merupakan seorang sahaja pengejar pada ketika itu sedang mencari mangsanya yang lain. Haha yang tidak mempunyai ‘running ball’ dan berisiko untuk dihukum telah ‘menjual’ informasi lokasi ahli lain iaitu Gary dan Nickhun bagi menyelamatkan dirinya.

Ingatkan sampai situ sahaja, tetapi karakter pengkhianat itu kian berkembang pada saban episod sehinggakan terbentuk kumpulan ‘Trio Pengkhianat’ yang dianggotai oleh Haha, Sukjin dan Kwangsoo. Licik sungguh!

7. Setenang Air Tiada Buaya, Tenang Lagi Muka Gary

Momen ini sumpah epik dan ‘lejen! Siapa boleh lupa dengan muka Gary yang tenang sahaja walaupun sedang menyelesaikan misi di mana mereka perlu memastikan wajah mereka ditangkap oleh kamera dalam kiraan masa yang tidak diberitahu. Meskipun mereka semua ‘berperang’ dan cuba sabotaj antara satu sama lain, tak sekali pun Gary gagal menyelesaikan misi itu bahkan wajahnya yang ‘cool’ membuatkan misi tersebut nampak kacang sahaja!

Rindu pula dengan “Running Man” yang dahulu! Siapa penonton tegar rancangan ini daripada awal pasti ingat dengan semua momen ini kan?

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...