Ikuti Kami:

Travel Sambil Jumpa Peminat, Ikuti Pengembaraan Lee Seunggi & Jasper Liu Serata Asia Dalam Netflix ‘Twogether’

Travel Sambil Jumpa Peminat, Ikuti Pengembaraan Lee Seunggi & Jasper Liu Serata Asia Dalam Netflix ‘Twogether’

Siri Netflix “Twogether” menemukan dua bintang Asia yang kacak, Lee Seung-gi dan Jasper Liu dan membawa mereka menelusuri beberapa negara dalam kontinen ini bagi mencari peminat mereka meskipun keduanya berbeza latar belakang.

Ikuti mereka berjalan ke Yogyakarta dan Bali di Indonesia, kemudiannya Bangkok dan Chiang Mai di Thailand dan mengakhiri misi mereka di Pokhara dan Kathmandu, Nepal. Kalau anda nak tahu, kesemua lokasi ini adalah merupakan cadangan daripada peminat mereka sendiri. Lee Seung-gi dan Jasper Liu diberi peluang untuk berjumpa dengan para peminat ini tetapi dengan syarat, mereka harus menyelesaikan segala misi di setiap bandar sebelum dibawa ke satu tempat istimewa bagi bertemu dengan peminat tersebut.

netflix twogether

Bagi menyemarakkan lagi rasa teruja ini, kami telah menyertai satu sidang akhbar virtual bersama kedua bintang kacak ini dan juga Cho Hyun-jin dan Ko Min-soeok, iaitu pencetus kepada idea program “Twogether”.

Bukan lagi mimpi, selebriti kegemaran muncul di depan mata

Biasa melihat dirinya menerusi kaca televisyen atau pun sedutan video sahaja, “Twogether” membuka jalan kepada Lee Seung-gi untuk berjumpa dengan peminatnya di sekitar Asia secara bersemuka.

Seronok rasanya apabila dapat mengenali mereka dengan lebih rapat dan menanyakan tentang umur mereka, mendalami persekitaran tempat tinggal mereka, mempelajari tentang pekerjaan mereka serta mengetahui apa yang mereka suka.

Ini adalah peluang sekali seumur hidup di mana bukan peminat yang datang mencari kami tetapi kami yang datang melawat mereka sampai ke rumah. Ternyata memori yang tercipta adalah lebih indah.

netflix twogether

Jasper meluahkan rasa terkejutnya apabila mengetahui bahawa mereka mempunyai peminat meskipun Asia merupakan kontinen yang sangat besar. Rasa ingin tahu mengenai naskhah atau pun projek apa yang membuatkan para peminat ini jatuh suka pada mereka membuak-buak dalam diri lelaki ini.

‘Guru’ program hiburan dan amatur bergabung tenaga

Sudah biasa dengan program hiburan yang disertai ramai orang, Lee Seung-gi akui bahawa lebih mudah untuk mencipta pelbagai babak tanpa skrip sebegitu. Tapi dalam “Twogether”, hanya dia dan Jasper yang mengemudi rancangan itu sampaikan pelakon itu risau sekiranya Netflix akan menayangkan rakaman mereka sekiranya ia tidak menghiburkan.

Tetapi jangan risau kerana Lee Seung-gi mengatakan bahawa kombinasi mereka berdua ini menonjolkan kualiti dan stail rancangan hiburan yang baru. Lelaki ini juga yakin perkembangan di antara mereka berdua yang berbeza latar belakang sehingga berubah menjadi kawan baik adalah sesuatu yang bakal menggeletek hati penonton.

Percaya dengan veteran program hiburan itu, Jasper menyatakan bahawa dia belajar satu perkara penting daripada Lee Seung-gi.

Terus melangkah ke hadapan tak kira apa pun situasi dan mesti percaya dengan kuasa positif. Selain, percaya bahawa hubungan persahabatan ini akan kekal selamanya.

netflix twogether

Punyalah kamceng semasa merakamkan “Twogether” sampaikan Jasper menghadiahkan set baju tidur cantik kepada Lee Seung-gi. Lagi best kerana pelakon popular di Taiwan itu mempunyai set yang sama tetapi dalam warna biru gelap manakala baju milik Lee Seung-gi pula warna emas. Macam baju couple!

Pelbagai misi sebelum berjumpa peminat

Ingat senang-senang ke boleh terus jumpa peminat? Walaupun tema utama “Twogether” adalah untuk menyatukan kedua selebriti ini dengan peminat mereka di sekitar Asia tetapi Lee Seung-gi dan Jasper Liu perlu melalui pelbagai misi hebat bagi mendapatkan klu untuk mencari peminat di sesebuah negara tersebut.

Pelakon popular Korea itu memilih Bali sebagai salah satu tempat yang tidak boleh dilupakan kerana misinya yang tidak masuk akal. Bayangkan semasa paragliding, Lee Seung-gi perlu mencari Jasper di kawasan persisiran pantai dan perlu meneka apa yang sedang dilukisnya pada pasir tersebut. Gila!

Jasper benar-benar tidak sangka bahawa program hiburan Korea adalah sebegini tegas! Disangkakan bahawa mereka akan menerima klu daripada pihak produksi tetapi setiap daripada staf hebat dalam mengunci mulut.

Terus belajar daripada pengalaman di bandar pertama mereka iaitu Jogjakarta, pelakon Taiwan itu mula memerhatikan gerak-geri ‘guru’ Lee Seung-gi dalam menempuhi segala misi yang diberikan.

netflix twogether

Selit pelbagai emosi

Walaupun merupakan rancangan realiti yang menghiburkan, tetapi “Twogether” turut menonjolkan babak yang menyentuh hati apabila Lee Seung-gi dan Jasper Liu bertemu dengan para peminat mereka yang tersorok di seluruh Asia.

Bahkan produser Ko Min-seok membuatkan ramai semakin teruja apabila dia menggambarkan sinergi di antara kedua selebriti itu.

‘Twogether’ boleh bersinar sebaik ini kerana pertemuan di antara harta program hiburan, Lee Seung-gi dan permata tersembunyi program hiburan, Jasper Liu.

Jangan lupa saksikan kesemua 8 episod “Twogether” yang sudah ditayangkan daripada 26 Jun, hanya di Netflix!

Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ FacebookTwitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...