‘Parasite’ Bakal Diadaptasi Di HBO, Penonton Tuduh Amerika Tak Senang Duduk Lihat Filem Asia Berjaya

parasite bakal diadaptasi sebagai siri terhad di hbo

Umum mengetahui bahawa filem “Parasite” merupakan naskhah terunggul yang dikeluarkan pada tahun 2019 bukan sahaja di Korea bahkan di seluruh dunia. Filem ini membawa penonton mengikuti kisah sebuah keluarga miskin yang licik di mana mereka menggunakan pelbagai muslihat untuk memasuki sebuah keluarga kaya. Hubungan di antara kedua keluarga itu dipenuhi dengan pelbagai kisah yang berbelit sehinggakan ia membawa kepada pengakhiran yang berdarah.

parasite parasite

Kisah unik itu dikhabarkan bakal mempunyai kesinambungannya namun akan ditayangkan di bawah rangkaian HBO selepas memenangi bidaan daripada petanding hebat lain seperti Netflix. Kehebatan “Parasite” memang tidak dapat disangkal lagi apabila ia berjaya mengaut sebanyak USD 23 juta di panggung tempatan dan USD 130 juta secara keseluruhannya di serata dunia.

Segala perincian mengenai siri terhad di HBO ini masih di peringkat awal namun pengarah Bong Joonho dan Adam McKay iaitu seorang pengarah yang pernah memenangi Oscar itu dikatakan bakal bergabung untuk menghasilkannya. Namun tidak pasti sama ada siri ini akan kekal dengan bahasa Korea atau pun digarap dalam bahasa Inggeris. Mereka berdua juga bakal menggalas tugas sebagai produser eksekutif untuk siri ini.

bong joonho parasite

Walaubagaimanapun, nyata ramai peminat filem box-office ini yang menolak idea tersebut kerana bagi mereka “Parasite” haruslah kekal sebagai produk Korea. Tak perlu meng-Amerika-kannya bagi memasarkannya ke pasaran yang lebih luas. Ada yang menuduh bahawa industri perfileman Amerika tidak senang duduk apabila melihat kejayaan filem daripada negara Asia itu dan cuba terjun sekali ke dalam kepopularitiannya dan mengambil idea tersebut untuk keuntungan sendiri.

Ada juga yang kesal kerana rata-rata rakyat Amerika sepertinya tidak suka dengan filem yang mempunyai sari kata. Sebab itulah mereka mahukan sesuatu di dalam bahasa Inggeris supaya tidak perlu bersusah-payah untuk memahami sebuah karya dalam bahasa asing. Namun selepas “Parasite” memenangi anugerah “Filem Bahasa Asing Terbaik” di “2020 Golden Globes Awards” baru-baru ini, Bong Joonho ada mengatakan, “Apabila anda mengatasi satu inci penghalang yang dipanggil sari kata, anda akan mengenali lebih banyak lagi filem hebat.” Rugilah sesiapa yang tolak filem dengan sari kata hanya kerana malas membaca!

Apa-apa pun, sama-sama saksikan penghasilan siri terhad “Parasite” ini di saluran HBO tak lama lagi meskipun tarikh tayangan spesifik masih belum diputuskan.

Sumber: Hollywood Reporter

Leave a Reply