Peminat K-Pop veteran pasti kenal dengan kumpulan ‘lejen’ iaitu DBSK/TVXQ. Mereka ini merupakan antara kumpulan yang memulakan gelombang Korea di negara Jepun dan serata negara Asia bermula pada tahun 2003 sehingga sekarang. Hebat gila!
Meskipun sudah hampir 16 tahun aktif di dalam industri, TVXQ yang dianggotai oleh Jung Yunho dan Shim Changmin ini tidak pernah langsung terpalit dengan skandal buruk. Disebabkan itu, netizen Korea mempunyai darjah ‘respek’ yang tinggi terhadap kedua selebriti ini. Rata-rata selebriti lain yang pernah bekerjasama dengan mereka sentiasa melimpahkan kedua mereka dengan pujian sahaja dan tiada sekelumit pun cerita buruk.
Dalam diam, salah seorang ahlinya iaitu Changmin dikhabarkan sedang bercinta dengan seorang gadis biasa (bukan selebriti) yang lebih muda daripadanya. Menerusi laporan eksklusif itu, lelaki tersebut telah diperkenalkan dengan gadis itu menerusi rakannya dan hubungan itu mula bercambah kepada pasangan bercinta. Changmin juga dikatakan sangat menjaga teman wanitanya ini kerana statusnya sebagai orang biasa. Kenalan rapat selebriti itu turut mengetahui tentang hubungan mereka dan memberikan sokongan yang padu terhadap pasangan itu.
Selepas beberapa jam tular mengenai gosip ini, syarikat naungan Changmin iaitu SM Entertainment mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hal tersebut. Mereka mengakui bahawa Changmin sememangnya sedang bertemu janji dengan gadis seorang gadis biasa.
Tahniah diucapkan kepada Changmin dan pasangannya! Jadi, Yunho bila pula?
Sumber: Naver News