Ikuti Kami:

Ada Song Seunghun, Hwang Jungeum & Jang Nara, 9 K-Drama Baru Bakal Temui Anda Pada Mei Ini!

Ada Song Seunghun, Hwang Jungeum & Jang Nara, 9 K-Drama Baru Bakal Temui Anda Pada Mei Ini!

Siap sedia semua peminat K-Drama! Ini adalah senarai naskhah terbaru yang bakal menemui anda pada bulan Mei nanti.

1. Going Out

tvN | 4 MEI

going out

Drama istimewa ini hanya mempunyai dua episod dan menceritakan kisah kasih sayang antara ibu dan anak perempuan. Han Jung-eun (Han Hye-jin) sudah pun mendirikan rumah tangga dengan Lee Woo-cheol (Kim Tae-hoon) selama 14 tahun dan pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan.

Dek kerana si suami sibuk dengan kerja sebagai pengarah di sebuah stesen radio dan si isteri pula terpaksa menjaga keluarganya sambil bekerja, wanita itu telah meminta bantuan ibunya, Choi Soon-suk (Kim Mi-kyung) yang berada di kampung untuk datang dan membantunya. Tanpa disangka, mereka ditimpa dengan satu tragedi lantas Jung-eun dan ibunya terpaksa menghadapi kebenaran yang mula terbongkar sejak daripada itu.

2. Fix You

KBS | 6 MEI

fix you

Membawa kisah seorang ahli psikiatri yang percaya dengan teknik menyembuhkan dan bukan memberi penawar sebagai rahsia utama rawatannya. Lee Shi-joon (Shin Ha-kyun) adalah seorang doktor yang sanggup meredah lautan api bagi memastikan pesakitnya dirawat.

Manakala Han Woo-joo (Jung So-min) pula ialah seorang pelakon muzikal yang sedang meningkat naik dan juga merupakan salah seorang pesakit di bawah jagaan Shi-joon. Meskipun nampak ceria dan bebas jiwanya, wanita itu sebenarnya menyimpan luka emosi yang dalam dan moodnya berubah dari satu masa ke satu masa.

3. Oh My Baby

tvN | 13 MEI

oh my baby

Ianya merupakan kisah komedi romantik mengenai seorang wanita berusia 39 tahun yang mahukan anak tetapi tidak mahu berkahwin. Jang Ha-ri (Jang Na-ra) ialah Timbalan Ketua Jabatan di sebuah majalah keibubapaan. Wanita ini merupakan seorang yang cantik dan berbakat dalam kerjanya namun sudah pun berputus asa dengan kehidupan cintanya sejak 10 tahun dahulu dan kini dalam usaha untuk mendapatkan bayi sendiri.

Secara tiba-tiba, tiga lelaki terjah masuk dalam hidupnya dan membuatkan semua menjadi huru-hara. Lelaki tua iaitu Yi-sang (Go Joon) yang bekerja sebagai seorang jurukamera bebas dan sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk wanita itu.

Yoon Jae-young (Park Byung-eun) pula merupakan seorang doktor kanak-kanak yang juga rakan baik kepada Ha-ri. Dalam satu malan sahaja, dia menjadi bapa tunggal dan mula tak tentu arah bagi menjalani hidup dengan status baru itu.

Membawa watak lelaki muda, Choi Kan-eu-ddeum (Jung Gun-joo) ialah pekerja baru yang diserahkan di bawah jagaan Ha-ri. Disebabkan oleh sikapnya yang positif dan rupanya yang tampan, lelaki itu mula menarik perhatian wanita tersebut.

4. Wind, Clouds And Rain

TV Chosun| 17 MEI

wind, clouds and rain

Choi Chun-joong (Park Si-hoo) merupakan seorang penilik muka yang paling unggul di dalam negara itu dan lahir dalam sebuah keluarga berpengaruh tetapi akhirnya kesemua mereka dibunuh. Walaupun dipandang rendah pada awalnya kerana pekerjaan tersebut, lelaki itu membesar menjadi antara orang yang berkuasa di Joseon selain cuba mengubah takdir yang bakal merosakkan empayar itu.

Lee Bong-ryeon (Ko Sung-hee) adalah seorang puteri dan juga anak kepada Raja Cheol-jong yang cantik dan dalam diam, dia sebenarnya mempunyai kelebihan untuk membaca takdir orang lain. Mula berkenalan dengan Chun-joong, mereka cuba mengubah nasib Joseon untuk kebaikan semua.

5. Old-School Intern

MBC | 20 MEI

old school intern

Selepas bergraduasi, Ka Yeol-chan (Park Hae-jin) memulakan kerja pertama dalam hidupnya di sebuah syarikat namun mendapat ketua yang berperangai tegas seperti orang tua yang ketinggalan zaman. Disebabkan tak tahan dengan perangai lelaki tua itu, Yeol-chan menghantar surat berhenti kerja dan beruntung kerana diambil bekerja di sebuah syarikat ramen pula selepas itu.

Dengan usahanya yang jitu dalam perancangan dan pemasaran, lelaki itu telah dinaikkan pangkat sepantas kilat kerana prestasinya yang membanggakan. Mula bekerja sebagai ketua kepada Jabatan Jualan dan Pemasaran yang juga antara jawatan yang berpengaruh dalam syarikat itu, Yeol-chan dikejutkan dengan kehadiran bos lamanya yang kini berada di bawah jagaannya sebagai intern.

6. Mystic Pop-Up Bar

JTBC | 20 MEI

mystic pop-up bar

Drama ini menceritakan tentang satu kedai makan misteri yang bertapak di atas sebuah bangunan namun hanya beroperasi pada waktu malam sahaja. Premis ini dimiliki oleh seorang wanita yang panas baran tetapi hebat memasak iaitu Wol-joo (Hwang Jung-eum) dan pembantu kedai tersebut pula adalah seorang yang naif Han Kang-bae (Yook Sung-jae).

Jangan terkejut kerana kedai kecil ini terbuka kepada pelanggan biasa dan juga pelanggan yang sebenarnya merupakan roh yang berkeliaran. Sambil menjamah makanan dan minuman bersama staf di situ, mereka semua berkongsi kisah hidup dan mencari ketenangan untuk mengubati hati yang terluka.

7. Team Bulldog: Off-Duty Investigation

OCN | 23 MEI

drama further investigation

Jin Kang-ho (Cha Tae-hyun) ialah seorang detektif yang sangat bersemangat dan berdedikasi. Dia akan memastikan kesemua penjenayah jatuh ke tangannya dalam apa jua cara sekalipun sehingga membuatkan ramai detektif lain menyampah dengannya.

Kang Moo-young (Lee Sun-bin) pula ialah seorang produser TV yang menghasilkan program penyiasatan. Misi utama rancangan ini ialah untuk menangkap penjahat yang tidak mampu diberkas oleh pihak polis. Wanita ini adalah sangat tulus tetapi sanggup mengambil risiko supaya dapat membongkarkan keadilan. Tanpa sengaja, kedua mereka bertemu dan mula bekerjasama untuk menyelesaikan pelbagai kes jenayah yang menemui jalan buntu.

8. Shall We Have Dinner Together

MBC | 25 MEI

would you like to have dinner together

Drama romantik ini diambil daripada sebuah webtoon dengan tajuk yang sama di mana ia akan membawa penonton melalui kisah seorang lelaki dan wanita yang bencikan cinta kerana pengalaman lepas yang menyakitkan. Apabila mula makan malam bersama, kedua individu ini berjaya memulihkan perasaan dan mula mengenali cinta menerusi makanan.

Woo Do-hee (Seo Ji-hye) kini sudah tidak punyai perasaan selepas kisah cintanya yang gagal pada masa lepas. Manakala Kim Hae-kyung (Song Seung-hun) pula ialah seorang pakar psikiatri dan ahli psikologi makanan yang mengkaji seseorang itu dengan melihat tindak-tanduk mereka ketika menjamah makanan. Lelaki itu juga menggunakan teknik rawatan menerusi makanan bagi menyembuhkan pesakitnya. Meskipun dia seorang yang sangat lembut dengan pesakit tetapi dia sangat tegas apabila mengkritik makanan.

9. Late Night Snack Man And Woman

JTBC | 25 MEI

late night snack man and woman

Park Jin-sung (Jung Il-woo) adalah seorang chef yang menyembuhkan orang menerusi makanan yang disediakan olehnya. Restoran yang dimiliki olehnya dipanggil sebagai bistro72 dan menyimpan satu rahsia besar atas permintaan pelanggan tetap yang juga merupakan seorang pengarah program di stesen televisyen iaitu Kim Ah-jin (Kang Ji-young).

Wanita itu sering mengunjungi bistro72 kerana makanan dan minuman yang disediakan di situ merupakan satu-satunya bahagia yang mampu dirasainya. Sebelum kontrak kerjanya tamat, dia menggunakan peluang terkahir ini untuk merealisasikan impiannya untuk memastikan restoran milik Jin-sung mengecap kejayaan.

Selamat menonton!

Komen

PERHATIAN: Pihak KimchiDaily.my tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak KimchiDaily.my juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...